32 Duta Muda Dipilih Untuk Pemuliharaan Ikan Yu Di Semporna

Oleh BORNEOTODAY
SEMPORNA: Seramai 32 Duta Muda telah dipilih dan dilantik oleh Green Semporna untuk aktiviti pemuliharaan dan perlindungan ikan yu di daerah Semporna baru-baru ini.

Duta ini telah dipilih setelah suksesnya menyertai Shark Guardian Camp peringkat daerah Semporna yang telah diadakan selama tiga hari dua malam bertempat di SMK Bugaya II.

Kelab Pencinta Alam Semporna atau lebih dikenali sebagai Green Semporna telah menganjurkan kem kesedaran berfokuskan pemuliharaan ikan yu mensasarkan para pelajar sekolah menengah kebangsaan di daerah Semporna.

Kem yang disertai oleh 32 pelajar daripada lapan buah sekolah menengah di Semporna diadakan bertujuan untuk memberikan kesedaran mendalam tentang isu ikan yu selain memupuk semangat kepimpinan muda dalam kalangan peserta.

Click on the advertisement to know more.

“Shark Guardian Camp ini merupakan salah satu landasan kita untuk mendidik dan melahirkan barisan generasi muda yang akan memperkukuh pemuliharaan dan perlindungan ikan yu di daerah ini.

“Kem ini menggunakan pendekatan perkongsian interaktif dan pembinaan kemahiran sebagai pemimpin kepada para peserta,” jelas Razali Kamran, Koordinator Projek Pendidikan Kesedaran Ikan Yu bagi Green Semporna dalam satu kenyataan.

Adzmin Fatta, Pengasas Green Semporna berkata “Ikan yu merupakan haiwan pra sejarah yang wujud sebelum dinasour dan telah terselamat daripada empat kepupusan besar-besaran sejak zaman dahulu.

“Dipercayai telah wujud sejak 400 juta tahun lalu, haiwan ini sebenarnya pemangsa dalam rantaian yang mengekalkan populasi dan ekosistem marin yang sihat.”

Semporna sangat bertuah kerana menjadi salah satu destinasi pelancongan ikan yu di Sabah mahupun Malaysia.

Kesemua 32 duta muda selepas kehabisan Shark Guardian Camp peringkat daerah Semporna.

Di Pulau Sipadan sahaja, para penyelam berpeluang melihat pelbagai jenis ikan yu termasuklah yu paus, yu sirip hitam, yu sirip putih, kawanan yu tukul, yu rimau dan banyak lagi.

Malangnya ikan yu terus terancam kerana banyak permintaan terhadap daging dan siripnya. Selain menjadi makanan kegemaran tradisi tempatan, ikan yu juga turut menjadi hidangan penting dalam masyarakat cina.

Ditambah lagi dengan populasi ikan yu yang turun mendadak disebabkan perikanan berlebihan dan kemusnahan habitat.

“Sepanjang lima tahun ini Green Semporna telah berkerja keras mempelbagaikan aktiviti pendidikan kesedaran alam sekitar di daerah Semporna termasuklah kesedaran untuk melindungi ikan yu.

“Sebagai pertubuhan sukarelawan ini bukanlah tugas yang mudah namun kita sangat berpuas hati kerana kita lihat banyak perubahan dalam diri belia kini tentang alam sekitar,” tambah Rhena Ismail, Pengerusi Green Semporna.

Shark Guardian Camp ini merupakan salah satu aktiviti daripada Projek Pendidikan Kesedaran Ikan Yu di daerah Semporna oleh Green Semporna dengan kerjasama LEAP Spiral, WWF-Malaysia, Shark Savers Malaysia, Pejabat Pendidikan Daerah Semporna, SSPA, dan Scuba Junkie SEAS.

Beberapa program pendidikan kesedaran juga telah dirangka pada awal tahun hadapan mensasarkan sekolah-sekolah di daerah Semporna.