314 Unit Perkakas Rumah Disyaki Tiruan Disita KPDNHEP Sabah

Oleh NORA AHMAD
KOTA KINABALU: Tindakan pemilik premis menjual pelbagai jenis perkakas rumah disyaki tiruan membawa padah apabila sebanyak 314 barangan disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah dalam operasi di dua daerah semalam.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, operasi itu dilaksanakan di sembilan premis perniagaan termasuk empat di Kota Kinabalu dan lima premis di Sandakan.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan, sebanyak 314 unit pelbagai jenis perkakasan rumah seperti engsel pintu, set kunci pintu dan lain-lain disyaki tiruan dengan nilai anggaran RM4,504.80 telah disita di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

“Operasi ini dijalankan hasil daripada maklumat yang diterima mengenai penjualan perkakasan rumah yang disyaki tiruan pelbagai jenama daripada sebuah syarikat yang bertindak sebagai wakil kepada pemilik cap dagang berdaftar iaitu Crystal Triumph Sdn Bhd,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Georgie lagi, operasi itu dijalankan secara serentak di dua daerah berkenaan dengan membabitkan 50 anggota termasuk pegawai penguatkuasa KPDNHEP Sabah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga wakil pemilik cap dagang bagi barangan terbabit.

“Kesemua pemilik premis disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dan kes disiasat mengikut seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu memiliki barang-barang dengan cap dagangan yang dipakaikan dengan salah.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan,” katanya.

Georgie dalam pada itu berkata, kementerian akan terus menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Cap Dagangan 2019 bagi membanteras penjualan barangan tiruan dan aktiviti cetak rompak di pasaran.

“Peniaga diingatkan supaya lebih bertanggungjawab serta menghormati harta intelek orang lain disamping sentiasa berusaha membuat semakan status kesahihan dan ketulenan barangan yang dibekalkan.

“Pengguna juga dinasihati supaya tidak menyokong jualan barangan tiruan di pasaran yang belum tentu terjamin dari segi kualiti dan keselamatannya,” katanya.