311 Pati Diusir Pulang Ke Negara Asal

Oleh ARDYHANSAH AMAT
SANDAKAN: Seramai 311 pendatang asing tanpa izin (Pati) diusir pulang ke negara asal masing-masing menerusi Program Pengusiran Siri Ketiga dan Keempat Tahun 2020, dalam tempoh dua hari bermula semalam.

Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, daripada jumlah itu, 181 membabitkan warga Filipina manakala 130 lagi diusir ke Indonesia.

“Pengusiran Siri Ketiga membabitkan Pati dari Fililina menerusi jalan laut, semalam.

“Kemudian, hari ini, 130 orang lagi diusir pulang semula ke Indonesia, juga menggunakan jalan laut dari Tawau,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut Sh Sitti Saleha, bilangan itu menjadikan jumlah keseluruhan Pati yang diusir mencecah 591,642 orang sejak tahun 1990.

“Jumlan itu termasuk Pati yang diusir menerusi pengangkutan udara membabitkan negara lain yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Ini adalah program pengusiran ketiga dan keempat tahun ini, selepas MKN melakukan perkara yang sama membabitkan Pati pada 7 dan 9 Januari lalu,” katanya.

Menurut beliau, MKN terus komited menjalankan tugas termasuk mengusir Pati di Sabah dari semasa ke semasa.

“MKN turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terbabit dalam membantu menjayakan proses pengusiran Pati.

“Ini adalah tanggungjawab dan amanah yang diberikan rakyat Sabah dalam menangani kebajiran Pati di sini,” katanya.