31 Remaja, Kanak-Kanak Ditahan Menggunakan Basikal Lajak

358
Pihak polis menahan serta menyaman 31 remaja serta kanak-kanak kerana menggunakan basikal lajak.

LABUAN: Meskipun merbahaya dan telah banyak berlaku kemalangan termasuk yang mengakibatkan kematian, basikal lajak nampaknya masih digunakan terutama oleh golongan remaja dan kanak-kanak.

Aktiviti menunggang basikal lajak itu turut dikesan di Labuan selepas pihak polis berjaya menahan 31 remaja dan kanak-kanak berumur 10 hingga 17 tahun ketika sedang menggunakannya.

Ketua Polis Labuan, Superintenden Muhamad Farid Ahmad berkata, kesemua mereka ditahan semasa menunggang basikal lajak masing-masing di Jalan Pancur Hitam dan Kampung Pohon Batu semalam.

“Susulan aduan orang awam yang diterima dan hasil risikan selama seminggu, kami mengesan terdapat aktiviti berbasikal lajak di kawasan tersebut dan mengundang bahaya kepada pengguna-pengguna jalan raya.

Basikal lajak yang diubah suai untuk menambah kelajuan tanpa menggunakan brek.

“Polis menjalankan operasi kira-kira pukul 12.20 tengah hari yang berjaya menahan semua remaja terbabit dan telah dibawa ke Balai Polis Labuan,” katanya seperti dilaporkan laman Facebook Berita Ehwal Semasa (BES Labuan).

Menurut beliau, sebanyak 31 saman dikeluarkan sebelum kesemua remaja dibebaskan dan diserahkan kepada ibu bapa masing-masing.

“Semua basikal lajak disita dan kes disiasat dibawah Peraturan 42 (1)(a) LN166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 kerana ubah suai basikal, tiada brek dan loceng,” katanya.