30,000 Bakal Jalani Saringan Covid-19 Di Tawau Dan Lahad Datu

Oleh ARDYHANSAH AMAT

TAWAU: Seramai 30,000 individu dijangka bakal menjalani ujian saringan Covid-19 di dua daerah, di sini, dalam usaha mengekang penyebaran pandemik berkenaan.

Menteri Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Dr Adham Baba berkata, jumlah itu hanya membabitkan Tawau dan Lahad Datu susulan peningkatan kes yang tinggi, ketika ini.

“Manakala, bagi daerah lain terutamanya Semporna, KKM akan membuat penilaian risiko lebih terperinci sebelum jumlah individu yang dijangka disaring, dikeluarkan.

“Ini kerana terdapat banyak kluster baharu di Semporna seperti Selamat, Bangau-Bangau, Bakau dan Pulau,” katanya kepada media, selepas sesi lawatan kerja, di sini, hari ini.

Sehingga semalam, Kluster Benteng LD mencatatkan jumlah saringan tertinggi iaitu seramai 10,389 orang dan 729 daripadanya disahkan positif.

Diikuti Kluster Pulau sebanyak 731 saringan, Laut (488 saringan), Selamat (320 saringan), Bakau (181 saringan), Udin (128 saringan) dan Bangau Bangau (105 saringan).

Terdahulu, Adham menjelaskan tujuan lawatan kerjanya, hari ini, adalah untuk memantau dan mendapatkan gambaran jelas status Covid-19 di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu.

“KKM akan mempertingkatkan gerakan saringan Covid-19 dalam kalangan komuniti di sini.

“Sehingga kini, terdapat empat daerah di Sabah dikategorikan sebagai zon merah Covid-19 iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sedang membuat penilaian risiko berkaitan keperluan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) membabitkan empat daerah berkenaan.

“Kita akan buat pengumuman berkaitan perkara itu dalam masa terdekat.

“Setakat ini, mencukupi dengan memperketat prosedur operasi standart (SOP) sedia ada,” katanya.