3,000 Keluarga Di Sepanggar Telah Terima Bantuan Makanan

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Sebanyak 500 lagi isi rumah memerlukan di Parlimen Sepanggar menerima bantuan pakej makanan yang disampaikan Parti Warisan Sabah (Warisan) Bahagian Sepanggar.

Jumlah itu menjadikan sebanyak 3,000 pakej bekalan keperluan harian telah pun diagih-agihkan di kawasan tersebut sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, esok, sebanyak 1,500 pakej lagi akan diedarkan untuk memastikan setiap keluarga menerima manfaat bantuan daripada kerajaan.

“Bantuan yang dikeluarkan secara berperingkat-peringkat pada hari ini mensasarkan seramai 500 keluarga yang mana bekalan makanan ini akan dihantar dari rumah ke rumah bagi mengurangkan pergerakan rakyat khususnya di sekitar Parlimen Sepanggar.

“Sejak di mulakan, seramai hampir 3,000 paket bantuan makanan telah dihantar dan esok  sebanyak 1500 paket bantuan lagi akan siap utk di hantar kepada mereka yang telah mengisi dan menghantar maklumat isi rumah ke pejabat Pusat Khidmat Parlimen Sepanggar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi yang layak dan masih belum menerima bantuan bekalan makanan, mereka masih boleh menghantar maklumat mengenai isi rumah masing-masing sama ada melalui kiriman Whatspp kepada pegawai di pusat khidmat atau mengisi borang atas talian yang telah di sediakan.

Katanya, bagi yang telah mengisi borang dan masih belum menerima bantuan diharap dapat bersabar kerana bantuan diberikan mengikut giliran selain jumlah jentera yang dikerahkan untuk menghantar bekalan makanan agak terbatas.

“Saya menasihati orang ramai agar terus berada di rumah dan mematuhi larangan pergerakan dan peraturan-peraturan yang telah di tetapkan oleh kerajaan.

“Pusat Khidmat Parlimen Sepanggar akan cuba membantu seramai yang mungkin namun keutamaan akan di berikan kepada golongan sasar iaitu orang-orang tua, orang kurang upaya, orang sakit, ibu-ibu tunggal dan juga mereka yang benar-benar terputus mata pencarian disebabkan oleh PKP yang sedang dikuatkuasakan,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Azis turut bersama jentera parti menghantar bantuan makanan hari ini di sekitar Kampung Tatahan, Kampung Tampasak dan Kampung Tambalang Silou.