3,000 Anggota Keselamatan Sedia Hadapi Bencana Banjir

KOTA KINABALU: Kira-kira 3,000 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan sedia untuk dikerahkan bagi menghadapi bencana banjir yang dijangka berlaku antara November ini hingga Mac depan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis, Datuk Jauteh Dikun berkata, sebanyak 300 hingga 400 bot akan digerakkan bagi membantu operasi pemindahan mangsa-mangsa banjir semasa fenomena Monsun Timur Laut (MTL) berlaku.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah juga telah mengenal pasti sebanyak 626 kawasan ‘hotspot’ banjir di seluruh Sabah. Antara kawasan hospot banjir itu adalah Beluran, Kinabatangan, Pitas dan Beaufort.

Katanya, berdasarkan mesyuarat penyelarasan yang diadakan, semua agensi telah bersedia untuk menghadapi bencana banjir dan tanah runtuh yang dijangka berlaku apabila hujan lebat turun secara berterusan sepanjang tempoh MTL berlaku.

“Maka, saya menyeru kepada masyarakat terutama di kawasan hotspot agar memberi kerjasama dan sentiasa berwaspada dengan perkembangan cuaca semasa serta mendengar nasihat dan arahan daripada pihak berkuasa untuk mengelak berlaku sesuatu di luar jangka.

“Jangan lagi kita bersikap tradisional dengan menganggap (banjir) sudah menjadi satu kebiasaan apabila berlaku MTL.

“Saya minta kerjasama orang ramai agar dengar dan patuhi arahan daripada pihak berkuasa,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah hari ini.

Bagi pihak PDRM pula, seramai 1,076 anggota di seluruh Sabah dengan bantuan 1,401 aset sedia digerakkan bagi menghadapi banjir.

Jauteh berkata, sebanyak 345 pusat pemindahan sementara (PPS) berdaftar yang telah dikenal pasti dan ia mampu menampung sehingga 131,300 orang mangsa pada satu-satu masa.

Menurut beliau, antara agensi terlibat dalam pengurusan bencana itu termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mengenai kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan semasa musim banjir, Jauteh berkata, pihaknya tidak berhadapan sebarang kekangan dari segi logistik mahupun kakitangan untuk menghadapi kedua-dua perkara tersebut.

Beliau berkata, sekiranya PRU diadakan dalam tempoh yang sama berlaku bencana banjir, PDRM mempunyai keanggotaan mencukupi untuk menangani keadaan itu.

Malah, mereka telah merancang jumlah anggota akan ditugaskan untuk menghadapi bencana banjir dan anggota yang perlu digerakkan untuk menghadapi PRU.