300 Ahli Star Tulid Keluar Parti Sertai Warisan

JENNIFER TUGUNG MICHAEL

KENINGAU: Naib Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Mius Alim mendedahkan hilang kepercayaan dan ketidaksepakatan antara anggota Star merupakan faktor utama beliau meninggalkan parti berkenaan.

Mius

Mius berkata, apabila melihat calon-calon termasuk ahli-ahli
parti itu saling bergaduh antara satu sama lain, beliau tidak yakin Star mempunyai keupayaan untuk membentuk kerajaan Negeri Sabah.

“Kami kehilangan kepercayaan kerana mereka (Star) melaungkan slogan satu lawan satu untuk menentang Warisan tetapi pada saat-saat akhir mereka sesama sendiri tidak dapat menumpukan perjuangan itu, malah mereka mempunyai agenda masing-masing untuk bertembung,

“Contohnya, apabila mereka menang, mereka juga tidak dapat membentuk kerajaan kerana sering bertembung, sedangkan mengurus bahagian kerusi pun sudah bergaduh apa lagi pengurusan dalam pentadbiran Negeri Sabah.

“Oleh sebab itu, saya dan semua setiakawan saya keluar parti untuk memberi sokongan kepada calon Warisan di Tulid,”katanya.

Semalam, Mius meletakkan jawatan dan menyerahkan borang keahlian untuk menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).

Penyertaan Mius itu turut menyaksikan sejumlah 300 ahli Star termasuk 600 lebih ahli baharu dari mukim Lanas dan Tulid menyerahkan borang keahlian kepada Datuk Peter Anthony pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat.

Rayner

Sementara itu, Ketua Pegawai Perhubungan Pensiangan PBRS, Rayner F. Udong turut meletakkan jawatannya dan menyatakan sokongannya kepada Warisan.

Beliau berkata, keprihatinan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal jelas terbukti apabila beliau komited untuk mengembalikan hak geran tanah kepada penduduk kampung.

“Kita tengok pemimpin Mohd. Shafie Apdal ini telah banyak memberi pertolongan kepada rakyat yang memerlukan tanah dan sebagainya. Selain itu, Kami melihat perjuangan Warisan ini semakin jelas.

“Itu sebab saya ambil keputusan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak untuk menyertai Parti Warisan ini dengan meletakkan jawatan saya sebagai Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Pensiangan , saya juga telah meletakkan jawatan saya sebagai Ketua Penerangan PBRS Negeri Sabah, saya juga telah meletakkan jawatan saya sebagai Ketua Bahagian PBRS Bingkor dan semua jawatan saya sudah lepaskan,”katanya.