30 Sukarelawan Teruskan Usaha Bersihkan Pekan Semporna

Oleh SURAIDAH ROSLAN
SEMPORNA: Menyahut saranan kerajaan ingin melihat Pekan Semporna bebas daripada sampah, sekumpulan sukarelawan dari Persatuan Penyelam Profesional Semporna (SPDA) mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan sampah, di sini semalam.

Pasukan sukarelawan yang disertai 30 orang peserta itu berjaya mengutip hampir 150kg sampah yang terdiri daripada plastik, penyedut minuman (straw), polisterin dan bekas minuman.

Presiden SPDA, Abdul Razak Ismail berkata, program kesukarelawan itu diadakan sempena Karnival Mesra Muslim Antarabangsa (IMFC) yang berakhir semalam.

“Program ini dirancang pada saat akhir, iaitu selepas berakhirnya program pembersihan sampah di dasar laut di Pulau Bum Bum pada 8 Disember lalu.

“Namun, kehadiran sukarelawan dalam membantu menjayakan program ini amat dihargai,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Abdul Razak berkata, masalah sampah di pekan ini mencemarkan imej Semporna yang terkenal sebagai salah satu daripada pusat selaman terbaik dunia (Pulau Sipadan).

Katanya, sekiranya masyarakat setempat tidak mengambil inisiatif membantu membersihkan Pekan Semporna, siapa lagi yang hendak diharapkan membersihkan pekan ini.

“Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada Pihak Berkuasa Tempatan untuk membersihkan sampah di pekan ini.

“Sebagai penduduk setempat, kita perlu mempunyai rasa bertanggungjawab menjaga kebersihan pekan yang sentiasa dipenuhi dengan pelancong asing ini.

“Atas sebab itu, kami akan sentiasa menganjurkan pogram gotong-royong sebegini dari masa ke semasa bagi membantu memastikan hasrat menjadikan pekan ini bebas sampah menjadi kenyataan,” ujarnya.

Program gotong-royong ini turut disertai oleh rakan-rakan penyelam dari Ocean Park, Borneo Speedy Dive.

Hadir sama membersihkan Pekan Semporna adalah Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Sabah Ag Ahmad Zaki Abu Bakar dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Semporna.

Pada November tahun lalu, Ketua Menteri melancarkan Kempen Sabah Bebas Sampah, Semporna Bersih dan Indah sebagai langkah kerajaan memastikan Semporna bebas sampah.

Susulan itu, pada 10 Januari lalu, 12 individu didenda mengutip sampah dengan memakai vest ‘Monyet’ kerana didapati membuang sampah merata tempat.

Kesemua 12 individu itu antara 31 orang yang ditahan termasuk seorang pelancong kerana membuang sampah merata tempat.

Bagaimanapun 19 orang membayar kompaun RM30 hingga RM500 sementara 12 individu itu gagal membayar kompaun.