30 Lokasi ‘Black Spot’ Dikenal Pasti Bagi Op Selamat 19

KOTA KINABALU: Seramai 267 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Sabah ditugaskan dalam Op Selamat 19 yang dilaksanakan sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, sebanyak 30 lokasi ‘black spot’ kemalangan yang di kenal pasti yang melibatkan 519 km jalan persekutuan dan 83 km jalan negeri dengan jumlah jarak keseluruhan 602 km.

Beliau berkata, bagi menjayakan operasi bersepadu ini, pasukan JSPT Sabah akan turut dibantu oleh agensi penguatkuasaan lain dalam operasi yang bertemakan ‘Rumah selamat, Selamat sampai ke destinasi’.

Beliau berkata, matlamat operasi bersepadu itu akan memberi fokus kepada melancarkan pergerakan lalu lintas, menurunkan kadar kemalangan maut dan kemalangan biasa serta menurunkan kadar jenayah pecah rumah ke tahap yang paling minima semasa musim perayaan.

“Op Selamat 19 ini juga bertujuan untuk memberi keselesaan kepada semua pengguna jalanraya agar sentiasa berada dalam keadaan selamat dan tidak menghadapi masalah kesesakan lalu lintas selain memastikan premis dan rumah kediaman yang ditinggalkan dalam keadaan selamat dari sebarang perlakuan jenayah.

“Semua petugas telah diarahkan untuk mempertingkatkan penguatkuasaan, operasi, berada di lokasi statik, membuat rondaan sepanjang lokasi black spot (kawasan kerap berlaku kemalangan) dan penguatkuasaan terhadap kesalahan yang dikenal pasti penyumbang kepada kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Beliau berkata, dalam usaha mencegah jenayah pecah rumah pula, pasukan polis peronda akan terus melakukan pemantauan di premis dan kawasan perumahan yang ditinggalkan.

Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk mengisi borang maklum balik kampung yang boleh diperoleh di balai-balai berhampiran dan menerusi laman web PDRM.

Di samping itu, pemakluman juga boleh dibuat dengan menghubungi hotline 999 serta mengisi secara online di apps volunteer smart phone (VSP)

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar memandu secara berhemah semasa berada di jalan raya dan pastikan keselamatan rumah sebelum bergerak pulang ke kampung masing-masing.