3 Lelaki Dipenjara 2 Dulan Ingkar MCO

Oleh ARDYHANSAH AMAT
LAHAD DATU: Dua beradik dihukum penjara dua bulan dan denda RM1,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Ng Khim Weng, 50, dan Ng Kim Chuah, 47, didakwa secara bersama melakukan kesalahan itu di Pusat Industri Dam, Jalan Dan, Lahad Datu, pada 28 Mac 2020, jam 11 pagi.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan, pasangan adik beradik yang juga bekerja sebagai majikan Rintisan Hijau Sdn Bhd didakwa sengaja membuka premis mereka yang mana tidak menyediakan perkhidmatan perlu seperti dinyatakan dalam Jadual Peraturan 2, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Majistret Ryan Sangirann Rayner Jr kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua bulan dan denda RM1,000 kepada tertuduh.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Risal Abd Fikkah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, dalam perbicaraan berasingan, seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara dua bulan selepas mengaku bersalah atas kesalahan sama, ingkar MCO.

Tertuduh, Awang Mohd Nor Hafiz  Awang Mohd Nor Ishak, 23, kesalahan itu di Jalan Pantai, Simpang Kampung Puyut, Lahad Datu pada 28 Mac 2020, jam 11.30 malam.