3 Lelaki Berdepan Dakwaan Menipu, Libatkan Jumlah RM200K Di Labuan

231

LABUAN:Tiga lelaki didakwa berasingan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah (CBT) dan menipu, membabitkan jumlah RM223, 825.50.

Kes pertama membabitkan seorang petugas Prestine Era Sdn Bhd, (syarikat pengurusan bagi Labuan International School) yang didakwa menggelapkan kutipan bayaran yuran sekolah untuk kegunaan sendiri antara 19 Dis 2014 dan 28 Feb 2015.

Shariff Omar Faruk, 38, yang tidak diwakili peguam, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda jika disabitkan kesalahan.

Majistret Leona Dominic Mojiliu menetapkan jaminan RM8,000 dengan dua penjamin rakyat tempatan dan 22 Ogos untuk perbicaraan.

Kes kedua membabitkan seorang lelaki berumur 26 tahun yang minta dibicarakan atas tiga pertuduhan CBT membabitkan jumlah RM95,546.00.

Mohd Shahrizal Jaul didakwa menggelapkan bayaran tambah nilai Maxis masing-masing berjumlah RM80,404.00; RM8,937.00; dan RM6,205.00 antara 3 Mac 2018 dan 29 Mac 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman maksimum penjara 14 tahun, sebat dan denda.

Mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin rakyat tempatan, dan 6 Ogos untuk perbicaraan di Mahkamah Sesyen.

Kes ketiga pula membabitkan seorang lelaki berumur 61 tahun yang didakwa menipu seorang kontraktor syarikat pembinaan am untuk mempercayai bahawa dia boleh mendapatkan projek Petronas bagi kontraktor berkenaan di Kimanis, Sabah.

Gapar Tasan mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan itu membabitkan sejumlah RM18,350.00 di CIMB Bank Ujana Kewangan, Labuan antara 2 Jan dan 29 Feb 2016.

Majistret menetapkan jaminan RM7,000 dengan dua penjamin rakyat tempatan dan 22 Ogos untuk perbicaraan.

ASP Hasnan Abidin mengendalikan pendakwaan.