3 Jalan Ditutup, 4 SJR, Tiada Aktiviti Riadah Di Lahad Datu

Sekitar SJR di Lahad Datu, Mei lalu.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
LAHAD DATU: Sebanyak tiga jalan ditutup manakala empat sekatan jalan raya (SJR) di sekitar daerah ini berkuatkuasa tengah malam ini berikutan peningkatan kes pandemik Covid-19.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, keputusan itu dibuat Pusat Operasi Kawalan Bencana (PKOB) dalam usaha memutuskan rantaian penyebaran virus Covid-19.

“Tiga jalan yang ditutup adalah Jalan Bypass Tengah Nipah (berhampiran lampu isyarat Lapangan Terbang Lahad Datu), Jalan Tengah Nipah (berhampiran terminal lori Majlis Daerah Lahad Datu) dan jalan keluar-masuk ke pusat bandar (bulatan mahkamah).

“Dalam masa sama SJR juga akan dilakukan di simpang Tamoi Baru, Kilometer 7 Jalan Lahad Datu, Layong Industri dan Kampung Puyut,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut Nasri, dalam masa sama PKOB Lahad Datu turut melarang sebarang aktiviti riadah di taman awam sekitar daerah ini bagi mengekang perhimpunan orang ramai.

“Orang ramai diminta merancang pergerakan untuk keluar membeli barang.

“Penduduk sekitar Jalan Silam misalnya diminta mendapatkan barangan keperluan di Bandar Perdana,” katanya.

Tambah Nasri, bagi penduduk di Jalan Tungku dinasihatkan mendapatkan barangan keperluan di I-Peak, manakala penduduk Jalan Segama berbelanja di Bandar Fajar atau Tabanak.

“Sekiranya orang ramai dikesan melakukan pergerakan masuk ke arah bandar tanpa alasan munasabah, maka mereka akan diarah untuk berpatah balik serta-merta.

“Penutupan jalan raya dan SJR adalah satu inisiatif PKOB Lahad Datu bagi membendung penularan Covid-19 apatah lagi ketika ini berlakunya kluster Benteng LD dan kes sporadic di sini,” katanya.