3 Di Tangkap Tiada Pengenalan Diri, Guna Bahan Terlarang

154
Komander (M) Boon Chin Chau (tengah) menunjukkan peralatan menangkap ikan yang dilarang penggunaannya iaitu panah.

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
KUDAT: Tiga nelayan asing warganegara Filipina ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila ditahan Maritim Malaysia Zon Maritim Kudat dalam satu siri pemeriksaan berkala yang dijalankan oleh agensi ini, Isnin lalu.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander (M) Boon Chin Chau berkata ketiga-tiga suspek ditahan di atas sebuat bot pam (pump boat) di kedudukan sekitar 2.8 Batu Nautika Timur Pulau Malawali, 10 pagi kelmarin oleh sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang sedang dalam penugasan Ops Pluto Timur.

Ketiga-tiga suspek gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah apabila diperiksa.

“Selain dari itu, pihak kami turut menemui peralatan menangkap ikan yang dilarang penggunaannya iaitu panah,” Komander (M) Boon berkata.

“Malah, hasil pemeriksaan turut menemui beberapa peralatan yang disyaki digunakan bagi pengambilan dadah jenis metaphetamine (syabu) dan kami turut menemui satu bungkusan kecil hablur kristal yang disyaki dadah jenis syabu dalam milikan mereka.”

Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati dua daripada tiga suspek positif dadah jenis metaphetamine, ujar beliau.

Bot serta segala peralatan ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Kudat dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/1963 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Maritim Malaysia akan sentiasa menjalankan pemeriksaan seperti ini dari semasa ke semasa bagi memastikan perairan negara selamat dari sebarang anasir jenayah yang mampu menggugat keselamatan dan kesejahteraan negara.