3 Bulan Untuk Atasi Masalah Teknikal Terminal Bas Bersepadu Sandakan

632
Terminal Bas Bersepadu Sandakan sepatutnya siap pada tahun 2016.

SANDAKAN: Tempoh tiga bulan diberikan bagi mengatasi masalah teknikal yang menyebabkan Terminal Bas Bersepadu di sini masih belum beroperasi disebabkan tidak mendapat kelulusan Sijil Layak Menduduki (OC).

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah yang juga Anggota Parlimen Sandakan Stephen Wong memberi tempoh masa itu kepada tiga pihak yang terlibat dalam pembinaan terminal bas itu iaitu Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), konsultan dan kontraktor.

Menurut beliau terminal bas yang mula dibina pada 2013 dan sepatutnya siap dalam tempoh tiga tahun yang sehingga hari ini berlaku tiga kali kelewatan penyiapan kerja pembinaan.

Katanya sehingga hari ini biarpun kerja pembinaan bangunan utama dan tapak sudah siap tetapi masih belum dapat digunakan kerana belum mendapat OC.

“Saya mahukan tiga pihak terlibat untuk mencari kaedah dan penyelesaian. Saya beri mereka masa tiga bulan untuk memastikan terminal bas bersepadu ini beroperasi dan digunakan rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita ketika melawat terminal tersebut, hari ini (Isnin).

Hadir sama, Timbalan Presiden MPS Hamsan Awang Supain dan Anggota Dewan Undangan Negeri Elopura Calvin Chong.

Terminal Bas Bersepadu Sandakan terletak di Kilometer 1 Jalan Lintas Utara dibina atas tanah seluas 4.16 hektar.

Terminal bas itu dibina dengan kos RM25.2 juta iaitu RM16.2 juta daripada kerajaan persekutuan dan RM9 juta daripada kerajaan negeri.

Stephen yang juga Pengerusi DAP Sabah berkata penduduk di daerah ini khususnya pengguna yang bergantung kepada perkhidmatan bas sebagai pengangkutan utama mereka sudah menunggu untuk menggunakan terminal ini.

Katanya begitu juga pengusaha bas ekspres yang kini menggunakan terminal bas sementara di Bandar Letat juga mahu segera berpindah ke terminal bas bersepadu ini untuk operasi lebih teratur dan keselesaan penumpang.