28 Projek Jalan Luar Bandar Sabah Siap Sepenuhnya – KPLB

KUALA LUMPUR: Sebanyak 28 daripada 101 Projek Jalan Luar Bandar (JALB) Sabah di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) telah siap sepenuhnya, Dewan Rakyat diberitahu, hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II Datuk Henry Sum Agong berkata sementara itu, 26 projek lagi dalam fasa pembinaan, 18 dalam peringkat perancangan, 22 fasa pelantikan perunding dan reka bentuk manakala tujuh lagi sedang dalam peringkat perolehan.

Beliau berkata bagi Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) pula, sebanyak 15 projek diluluskan dengan kos keseluruhan RM3.06 bilion yang memberi manfaat kepada 9,588 rumah di pelbagai daerah di bawah RMK11.

“Daripada 15 projek itu, dua projek sedang dalam peringkat pelantikan perunding kajian kesesuaian, sembilan dalam fasa pembinaan dan empat projek telah siap sepenuhnya,” katanya pada sesi soal jawab di sini.

Sementara itu katanya, bagi Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Sabah, sebanyak 63 projek sedang dilaksanakan dengan kos keseluruhan sebanyak RM2.04 bilion yang memberi manfaat kepada 34,078 rumah.

Jelasnya daripada 63 projek itu, 21 projek dalam peringkat pembinaan, 38 dalam fasa reka bentuk dan empat projek telah siap.

Beliau menjawab soalan Datuk Zakaria Mohd Edris (Bersatu-Libaran) mengenai status projek infrastruktur asas luar bandar di Sabah khususnya projek jalan, bekalan api dan bekalan air.