27 Ditahan Terlibat Dadah

Sebahagian suspek yang ditahan dalam Op Sarang membanteras pengedaran dan penagihan dadah di Kota Kinabalu.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Op Sarang bagi membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah di sekitar Kota Kinabalu yang dijalankan sepanjang masa berjaya menahan sebanyak 29 lagi suspek menggunakan bahan terlarang itu.

Ketua Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kesemua suspek ditahan dalam empat serbuan berbeza di Kampung Sembulan, Pekan Inanam, Kampung Likas dan Api-Api bermula Isnin hingga Khamis lalu.

Pihak polis mengawal semua suspek yang ditahan.

“Dalam serbuan itu, 37 individu telah diperiksa dan hasilnya tiga ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, sembilan suspek mengikut Seksyen 12(2) akta sama manakala 17 suspek di bawah Seksyen 15(1)(A) akta sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Habibi berkata, bermula 31 Ogos lalu, sebanyak 20 serbuan telah dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD bagi membanteras setiap pesalah.

Dalam tempoh itu, 65 tangkapan berjaya dilakukan membabitkan pelbagai kesalahan jenayah di bawah Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Salah seorang suspek digari oleh pihak polis.

Daripada jumlah itu, tiga ditangkap membabitkan pengedaran, 15 kerana memiliki dadah manakala 47 lagi gagal ujian urin. Sebanyak 42 orang adalah warga tempatan manakala 23 warga asing berumur 10 hingga 60 tahun.

“Jumlah keseluruhan rampasan adalah 17.84 gram syabu bernilai RM892,” kata Habibi.