269 Pelajar SM All Saints Dirai Dalam Majlis Graduasi

Madius menyampaikan Anugerah Pengetua kepada Danial Lau.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Sekolah Menengah (SM) All Saints Kota Kinabalu, melakar sejarah apabila buat julung kalinya seramai 269 pelajar Tingkatan 5 sesi 2019 dirai pada Majlis Graduasi di Shangri-La Tanjung Aru Resort & Spa, di sini baru-baru ini.

Lebih bermakna, majlis berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang turut sekaligus menyampaikan sijil kepada pelajar.

Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian negeri dalam ucapannya berkata, beliau berasa kagum dengan SM All Saints sebagai salah satu sekolah mubaligh yang wujud sejak 116 tahun lamanya dan telah menghasilkan ramai pemimpin di Sabah.

“Saya juga amat teruja untuk membawa kesedaran kepada pelajar agar terus membudayakan kecemerlangan tanpa mengira tempat.

“Justeru saya menggesa agar pelajar giat melakukan inovasi dan inkuiri penemuan untuk menyelesaikan masalah ekonomi hari ini dan mengurangkan kebergantungan tenaga asing,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Pengetua SM All Saints Dr Mary Gambidau, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu Nurwaniedah Winnie Abdullah, Presiden Alumni SM All Saints, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan guru SM All Saints serta ibu bapa pelajar.

Penyampaian Anugerah Pengetua turut diberikan kepada pelajar Danial Lau.

Sementara itu, Mary dalam ucapannya turut melafazkan kesyukuran kerana Majlis Graduasi Tingkatan 5 yang julung kali di adakan sejak sekolah ini ditubuhkan.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada pengurusan guru-guru SM All Saints dan jawatankuasa pelaksana di atas komitmen yang tinggi dalam memastikan majlis ini dijalankan dengan sempurna.