2,605 kes HFMD dilaporkan di Sabah

HAND-FOOT-AND-MOUTH DISEASE

KOTA KINABALU – Sebanyak 2,605 kes penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) dilaporkan di Sabah setakat 27 Julai ini, dengan daerah Kota Kinabalu masih mencatatkan kumulatif tertinggi iaitu sebanyak 476 kes.

Menurut laporan Bernama, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Christina Rundi berkata, ini diikuti  daerah Beaufort sebanyak 342 kes, Penampang (207 kes) dan Sandakan (181 kes).

“Oleh itu JKNS mahu ibu bapa atau penjaga kanak-kanak  mengamalkan langkah-langkah pencegahan supaya penyakit berkenaan tidak merebak, antaranya tidak membawa anak yang dijangkiti atau disyaki mengalami gejala HFDM ke tempat awam, sekolah dan pusat asuhan, ” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Ahad.

Christina berkata, ibu bapa juga perlu memastikan lampin pakai buang anak mereka dibuang dengan betul dan tidak membenarkan peralatan makanan dan minuman dikongsi dengan kanak-kanak yang lain.

Katanya, sekiranya terdapat gejala atau tanda-tanda jangkitan pada kanak-kanak berkenaan ibu bapa perlu membawa mereka berjumpa  doktor dengan segera.

Dalam pada itu, Christina berkata, JKN Sabah akan terus memantau perkembangan penyakit HFMD di seluruh negeri.

Sehingga kini, katanya 17 pusat pendidikan awal dan sekolah masih ditutup bagi tujuan penyahkuman serta pembersihan premis.