26 Ketua Kampung, Tiga Ketua Majlis Perwakilan Di Labuan Dilantik

1532
Khalid (duduk empat dari kanan) bersama 26 ketua kampung dan pengerusi-pengerusi majlis perwakilan penduduk.

LABUAN: Isu pelantikan ketua kampung yang tertangguh lama akhirnya selesai apabila 26 ketua kampung dan tiga Ketua Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) menerima surat pelantikan di sini hari ini (Khamis).

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad menyampaikan surat pelantikan itu kepada mereka yang mana enam daripada ketua kampung berkenaan adalah muka lama.

Bagaimanapun, seorang calon untuk Kampung Pohon Batu menolak pelantikan itu.

Khalid menasihatkan ketua-ketua kampung baharu itu supaya membina kepercayaan dan hubungan dengan penduduk kampung serta mengurangkan penglibatan dalam politik atau mereka mungkin akan diganti.

“Sekiranya penduduk kampung tidak dapat menerima mereka yang dilantik, walaupun selepas dua ke tiga bulan, kita boleh mempertimbangkan (pengganti).

Khalid (kiri) menyampaikan surat watikah kepada pengerusi majlis perwakilan penduduk Zon 3, Salim Abd Rahman.

“Bagi saya, memandangkan mereka baru saja dilantik, kami menggesa penduduk kampung supaya memberi peluang dan sokongan kepada mereka bagi membuktikan keupayaan mereka untuk berkhidmat,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat pelantikan berkenaan.

Khalid berkata penduduk kampung yang tidak berpuas hati boleh membuat laporan kepada Anggota Parlimen Labuan atau Perbadanan Labuan supaya tindakan sewajarnya boleh diambil demi kepentingan penduduk.

“Bagaimanapun, aduan mestilah berasas dan bukan semata-mata bermotivasikan politik atau perkauman yang tidak akan dilayan,” katanya.

Mengenai pelantikan ketua MPP, Khalid berkata peruntukan akan diberikan kepada mereka untuk program kemasyarakatan.

“Jumlahnya kira-kira RM20,000 ke RM30,000 dan ia akan dipantau dengan ketat,” katanya.

Tiga ketua MPP itu yang mewakili tiga zon akan dibantu oleh seorang timbalan, setiausaha, pegawai perhubungan dan 13 anggota jawatankuasa dari setiap zon.

Khalid turut mengingatkan mereka yang dilantik supaya memiliki hati yang ikhlas dengan niat baik untuk membantu rakyat dan tidak menggunakan kedudukan mereka sebagai batu loncatan demi kepentingan peribadi atau parti politik mereka.