2,585 watikah pelantikan MPKK telah dikeluarkan

KOTA  KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah mengeluarkan sebanyak 2,585 atau 90.6 peratus  watikah pelantikan badan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri ini  setakat hari ini.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata,  secara keseluruhannya Sabah mempunyai sebanyak 2,853 badan MPKK.

“Setakat hari ini, kementerian saya telah mengeluarkan sebanyak 2,585 watikah perlantikan MPKK, manakala selebihnya sedang diproses.

“Antara sebab berlakunya kelewatan memproses watikah perlantikan adalah borang-borang cadangan yang dikemukakan ke kementerian saya didapati tidak menepati syarat yang ditetapkan.

“Maka, borang-borang cadangan tersebut dikembalikan ke pejabat-pejabat daerah berkenaan untuk dilengkapkan,” katanya dalam jawapan bertulis, pada persidangan dewan undangan negeri, di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Matunggong Julita yang bertanya apakah pihak kementerian telah selesai mewujudkan MPKK di seluruh Sabah dan berapa jumlah MPKK yang berjaya ditubuhkan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Matunggong.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, kouta keseluruhan MPKK bagi kawasan Matunggong adalah sebanyak 157.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 135 watikah perlantikan MPKK telah siap di mana 91 watikah telah diserahkan, manakala 51 watikah lagi akan saya serahkan kepada para Pengerusi MPKK semasa lawatan kerja saya ke kawasan Matunggong pada 3 Disember  ini.

“Sementara itu, sebanyak 22 borang cadangan MPKK telah dikembalikan ke Pejabat Daerah Kecil Matunggong untuk dilengkapkan,” katanya.

Ewon berkata, setakat 14 November ini KPLB Sabah telah menyalurkan peruntukan pembayaran elaun sebanyak RM22,409,150 kepada 34 pusat pembayar di seluruh Sabah, iaitu Pejabat Daerah, Pejabat Daerah Kecil, Majlis Perbandaran dan Dewan Bandaraya.

“Daripada jumlah itu, jumlah yang telah dibelanjakan atau dibayar oleh pusat-pusat pembayar tersebut adalah sebanyak RM17,187,900 atau 76.7 peratus daripada jumlah keseluruhan yang telah disalurkan oleh KPLB Sabah.

“Saya meminta kepada Pejabat UPPM di semua kawasan membantu memudahcarakan dan menyemak di pusat pembayar masing-masing sekiranya ada MPKK yang masih berhadapan dengan isu berkaitan pembayaran elaun,” katanya.