256 Mahasiswa UMS Dari Pahang Terima Bantuan Prihatin Pahang 2022

KOTA KINABALU: Kerjasama dalam bidang pelancongan antara Pahang dan Sabah berpotensi amat baik untuk diterokai memandangkan kedua-dua negeri mempunyai kelebihan masing-masing dari segi destinasi menarik untuk ditawarkan kepada pengunjung.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata terdapat produk pelancongan di Pahang yang tidak terdapat di Sabah dan begitu juga sebaliknya yang boleh dimanfaatkan untuk faedah bersama.

“Sangat baik sebab di Sabah ada kekuatannya tersendiri, ada Gunung Kinabalu sebagai contohnya, makanannya yang sedap. Dan di Pahang kita ada Gunung Tahan, kita ada udara yang nyaman di Cameron Highlands, kita ada pulau, kita ada sungai dan macam macam lagi.

“Dan ini adalah satu anugerah Tuhan dimana kadang-kadang ada di negeri yang ada satu satu keistimewaan tapi tidak ada di tempat kita. Di Pahang contohnya kita ada Genting Highland, Fraser Hill dan itu tidak ada di Sabah,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang 2022 kepada mahasiswa yang berasal dari Pahang di Universiti Malaysia Sabah, UMS, di sini, siang tadi.

Turut hadir, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk ChM Ts Dr Taufiq Yap Yun Hin.

Bantuan one-off RM200 ini melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM8.54 juta, yang memberi manfaat kepada 42,701 orang anak Pahang yang menuntut di intitusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di seluruh negara.

Ketika ini, 256 mahasiswa Pahang sedang menuntut dalam pelbagai jurusan di UMS.

UMS adalah destinasi pertama bagi penyerahan bantuan ini, diikuti institusi pengajian tinggi lain.

Di majlis ini, Wan Rosdy turut menyampaikan sumbangan RM10,000 daripada kerajaan Pahang untuk program bakul makanan UMS.

“Hari ini kerajaan negeri memberi sedikit sumbangan yang kita kenali Bantuan Prihatin Pahang iaitu jumlah RM200 seorang.

“Dan student di sini ada lebih kurang 250 orang dan yang hadir pada hari ini dalam 200 orang, yang 50 lagi tu ada sebab-sebab masing-masing tak dapat hadir.

“Bantuan ini bukan hanya untuk mahasiswa di Sabah sahaja, anak anak Pahang di Sabah saja, tapi seluruh IPTA dan IPTS di Malaysia.

“Jumlah yang kita peruntukkan lebih kurang 9 juta yang melibatkan hampir 43,000 students di seluruh negara. Dan ini adalah yang pertama kita bagi bantuan dan diikuti dengan universiti2 di tempat yang lain,” katanya.

Secara keseluruhannya, Kerajaan Pahang memperuntukkan RM30 juta ringgit untuk Bantuan Prihatin Pahang.

Bantuan berkenaan diagihkan kepada empat kluster utama rakyat negeri itu iaitu Kluster Pelajar dan Anak Muda, Kluster Golongan B40, Kluster Umum dan Kluster Apresiasi.

Dana berkenaan diagihkan mulai April hingga Julai depan membabitkan hampir 300,000 penerima.

Kluster pelajar dan anak muda memanfaatkan pelajar sekolah rendah, sekolah menengah, tahfiz, penuntut universiti dan politeknik serta anak muda berusia 18 tahun hingga 21 tahun dan anak muda yang berniaga.

Peruntukan keseluruhan untuk bidang pendidikan di bawah Bantuan Prihatin Pahang 2022 berjumlah 14.291 juta ringgit.

Bantuan tunai yang disalurkan kepada setiap mahasiswa berasal dari Pahang ini, disifatkan amat membantu dalam menjalani kehidupan seharian sebagai penuntut di perantauan.

Ia juga menjadi pembakar semangat yang mendorong pelajar ini untuk berusaha lebih gigih bagi mencapai kecemerlangan akademik meskipun berjauhan daripada keluarga.

Yang Dipertua Majlis Mahasiswa Anak Pahang (MAMPAN) UMS, Nor Atiqah Sukri berkata bantuan yang diterima amat membantu mahasiswa dari Pahang di UMS.

“Sangat membantu kami students Pahang yang berada jauh di perantauan, berjauhan dengan keluarga, sangat membantu untuk sedikit sebanyak menampung keperluan kehidupan kami di sini. InsyaAllah,” katanya.

Bagi Naib Yang Dipertua I MAMPAN, UMS, Pravin A/L N Ramakrishnan, Bantuan Prihatin ini amat membantu kepada mahasiswa dalam pelbagai aspek.

“Yang memerlukan duit ini untuk kos penerbangan macam kita nak balik kampung nak balik Semenanjung and then mungkin duit ini kami guna untuk persediaan untuk peperiksaan yang akan datang sebab kita pun ada nak print, print assignment dan sebagainya. So kami memang amat memerlukan bantuan ini dan kami menghargai bantuan ini,” katanya.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua II MAMPAN, UMS Anis Najwa Najihah Ismail berkata bantuan prihatin anak Pahang ini amat wajar diberikan kepada mahasiswa Pahang di UMS.

“Sebelum ini pun bantuan ini dah diberikan melalui online atau daripada pemindahan. Tapi masa hari ini diberi peluang untuk diberikan secara bersemuka, untuk melihat betapa mana pengorbanan daripada Pahang sampai ke Sabah.

“Dorang sanggup datang memberikan bantuan kepada kami. Bagi saya bantuan yang diberikan ini bukan sahaja memberi moral value yang bagus untuk meneruskan pengajian, walaupun kita jauh daripada rumah, tapi kita still dapat perhatian daripada orang kampunglah.

“Macam cakap, orang kampung datang berziarah. So kita sebagai perantau ke negeri ini, tak ada kekurangan sebenarnya tapi sumbangan dorang sebagai supported kita terus untuk berjaya,” katanya.

Sempena kunjunan Wan Rosdy ke Sabah, perbincangan kerjasama antara Kerajaan Pahang dan UMS turut dibincangkan selain potensi kerjasama Yayasan Sabah dan Kerajaan Pahang dalam pelbagai bidang berkepentingan demi manfaat bersama.