2,468 Kes Baharu COVID-19 – KP Kesihatan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,468 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 dalam negara sebanyak 288,229, selain 14 lagi kematian dilaporkan akibat pandemik itu dalam tempoh 24 jam lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata bagi kes sembuh harian 4,055 kes yang dilaporkan hari ini, juga lebih tinggi berbanding kes positif harian, menjadikan jumlah sembuh keseluruhan hingga kini sebanyak 256,678 kes.

Kes aktif yang dilaporkan hari ini adalah sebanyak 30,475 kes,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 dan menambah 196 kes aktif berkenaan dirawat di unit rawatan rapi dengan 92 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan. 

Menurutnya daripada jumlah kes baharu harian itu, 2,464 merupakan kes tempatan melibatkan 1,549 warganegara dan 915 bukan warganegara, selain empat kes import iaitu masing-masing dua warganegara dan dua bukan warganegara.

Dr Noor Hisham memaklumkan Selangor kekal mencatatkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 932 kes, diikuti Johor (428 kes), Perak (308 kes), serta Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang masing-masing mencatat 155 kes.

Beliau berkata daripada 14 kes kematian dilaporkan hari ini, 10 kes dicatatkan di Selangor, dua kes di Sarawak dan masing-masing satu kes di Johor dan Sabah dengan umur dalam lingkungan 30 hingga 77 tahun, dan 13 daripada kes adalah warganegara dan satu bukan warganegara.   

Dr Noor Hisham berkata 175 kes berkaitan kluster dilaporkan di penjara dan depot tahanan imigresen antaranya membabitkan Kluster Tembok Bendera (107 kes), Kluster Tembok Bukit Besi (36 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (19 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (sembilan kes), Kluster Penjara Seberang Perai (dua kes), selain masing-masing satu kes melibatkan Kluster Penjara Jalan Sungai Jelok dan Kluster Penjara Kepayan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata 13 lagi kluster baharu dikenal pasti hari ini, dengan 11 daripadanya berkaitan tempat kerja manakala dua kluster melibatkan komuniti iaitu di Taman Mawar, Sabah dan Jalan Muhibbah, Sarawak.

Katanya kluster tempat kerja yang dikenal pasti ialah Tapak Bina Digital Lapan, Jalan Wawasan 16, Jalan Cyber Sembilan dan Jalan Tebrau Pandan di Johor; Jalan Damai, Jalan Serendah dan Subang Tiga (Selangor), Jalan Setiawangsa dan Jalan Bayam (Kuala Lumpur); Tapak Binaan Jalan Ekar (Negeri Sembilan) dan Jalan PKNK 3/3 di Kedah.  

Dr Noor Hisham berkata 90 kluster merekodkan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini antaranya adalah Kluster Tapak Bina Digital Lapan (131 kes), Kluster Tembok Bendera (107 kes), dan Kluster Jalan Pelabuhan (95 kes).

Pertambahan kluster baharu hari ini menjadikan jumlah kluster aktif kini sebanyak 509, manakala jumlah keseluruhan kluster tamat ialah 586 selepas lapan kluster dilaporkan tamat pada hari ini.