24 Pati Termasuk 10 Kanak-Kanak Ditahan Di Perairan Tawau

499

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Seramai 24 orang pendatang asing tanpa izin (Pati) termasuk 10 kanak-kanak ditahan ketika cuba menyeludup keluar ke Filipina, di perairan Kampung Membelua, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, semua suspek itu menaiki sebuah pam bot dijuragani seorang individu.

Bagaimanapun, difahamkan, juragan berkenaan bertindak melarikan diri dengan terjun ke laut selepas menyedari kehadiran Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang kebetulan berada di situ.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten V Siva Kumar berkata, terdahulu pihaknya berjaya mengesan pergerakan sebuah bot dari 0.3 batu nautika Selatan Sungai Membelua menuju ke arah sempadan perairan antarabangsa ketika melakukan rondaan ruti. dan Ops Pluto Timur 2.

“Kemudian, pergerakan itu dikesan sekali lagi pada jarak 4 batu nautika dari Tenggara Sungai Membelua sebelum bot tersebut ditemui anggota bertugas di situ.

“Sebaik dihampiri, juragan bot dikesan terjun ke laut meninggalkan bot pam tersebut,” katanya menerusi sidang media, hari ini.

Tambah Siva, pemeriksaan lanjut ke atas bot tidak berdaftar itu menemui 24 individu berumur 3 hingga 57 tahun berada didalamnya bersama 35 tong berisi 875 liter minyak petrol.

“Hasil siasatan mendapati, semua individu itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri.

“Mereka juga mendakwa dalam perjalanan dari Tawau ke sebuah pulau di Filipina, sebelum pulang ke tempat masing-masing di negara tersebut,” katanya.

Turut ditemui beg pakaian dan beberapa barangan lain termasuk empat tong gas LPG sekali gus menguatkan dakwaan kumpulan terbabit dalam cubaan menyeludup keluar untuk pulang ke negara mereka.

“Kumpulan Pati itu juga mengaku membayar RM350 seorang atau RM8,400 kepada satu pihak yang menguruskan perjalanan keluar tersebut.

“Justeru, kami masih menyiasat dalang disebalik penyeludupan keluar kumpulan terbabit,” katanya.

Semua suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(a) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan berada di negara ini secara haram dan Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki petrol dan tong gas LPG tanpa kebenaran daripada pihak berwajib.