24 Kakitangan Perhutanan Gadai Nyawa Padam Kebakaran Hutan Beaufort

Oleh TERTIA JACOB
BEAUFORT: Pikul pam air dan berjalan kaki sejauh dua kilometer (km) kerana tiada jalan masuk dan berdepan kesukaran memadam api disebabkan lapisan gambut bawah tanah yang sukar dilihat.

Malahan, ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka pula terpaksa melaksanakan operasi demi memastikan kebakaran kawasan tanah gambut di Hutan Simpan Binsuluk, di sini dapat dikawal daripada merebak ke kawasan lebih luas.

Itu yang dilakukan 24 anggota Jabatan Perhutanan Sabah dalam usaha mengawal kebakaran di kawasan hutan simpan itu yang dipercayai bermula sejak seminggu lalu dengan setakat kelmarin, kebakaran membabitkan seluas 274 hektar kawasan hutan simpan di sekitar Kampung Kubu, Takuli dan Purun.

Difahamkan, kebakaran terbabit dipercayai akibat aktiviti sekumpulan pemancing yang membuat pembakaran di tepi saliran sebelum merebak ke kawasan hutan simpan berkenaan.

Ketua Konservator Hutan, Datuk Mashor Jaini, berkata ketika ini api sudah berjaya dikawal, namun pemantauan masih dilaksanakan bagi mengelak kebakaran berlaku semula.

Katanya, anggota turut berdepan kesukaran mendapatkan sumber air kerana cuaca kemarau dengan menggunakan teknik konvensional untuk mengawal api, selain membina pemisah api bagi menghalang api merebak.

“Operasi terpaksa diteruskan biarpun dalam tempoh PKP bagi mengelak api merebak ke kawasan lebih luas.

“Jika kebakaran tidak dipadam, kebakaran bawah tanah akan merebak secara perlahan dan membebaskan asap tebal sehingga gambut habis terbakar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Justeru, Mashor menasihatkan penduduk setempat di sekitar kawasan Hutan Simpan Binsuluk dan kawasan tanah gambut di Semenanjung Klias agar tidak membuat pembakaran terbuka ketika cuaca kemarau.

Beliau menegaskan individu yang didapati menyebabkan kebakaran hutan simpana boleh didakwa di bawah Seksyen 19 Enakmen Hutan 1968 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tujuh tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Mashor turut melahirkan penghargaan terhadap pihak bomba, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Meteorologi yang terbabit dalam memantau situasi kebakaran di hutan itu.