238 Anggota Trafik Bertugas Sepanjang Op Selamat Sempena Aidilfitri

KOTA KINABALU: Seramai 238 orang anggota polis trafik akan bertugas sepanjang pelaksanaan Op Selamat 18 yang diadakan sempena Hari Raya Aidilfitri bermula hari ini sehingga 8 Mei.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, anggota yang bertugas itu tidak termasuk pasukan polis peronda yang akan membuat rondaan dan pemantauan di kawasan-kawasan perumahan sekitar Sabah.

Beliau berkata, operasi itu dilaksanakan bukan hanya ingin memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin tetapi juga, memastikan harta benda yang ditinggalkan bagi mereka yang pulang ke kampung dapat dipantau oleh anggota keselamatan.

Oleh itu, beliau menasihatkan mereka yang ingin pulang ke kampung supaya mengisi borang khas yang disediakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di balai-balai berhampiran bagi memaklumkan lokasi sebenar rumah yang ditinggalkan untuk membolehkan anggota peronda membuat pemantauan.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya memberitahu jiran tetangga jika ingin pulang ke kampung agar sebarang elemen jenayah dapat dilaporkan kepada pasukan keselamatan.

Menurutnya, sempena perayaan kali ini, hanya 10 peratus anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibenarkan bercuti manakala, 90 peratus lagi akan bertugas mengawal keselamatan di kawasan daratan dan perairan Sabah.

“Pasukan marin akan melakukan rondaan di kawasan perairan secara berterusan kerana kita percaya ada aktiviti-aktiviti di perairan akan berlaku semasa musim perayaan.

“Walau bagaimanapun setakat ini, belum ada tangkapan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Sabah tapi, kita akan terus membuat pemantauan di kawasan perairan,” katanya semasa pelancaran Op Selamat 18/2022 sempena Hari Raya Aidilfitri di Lokkawi, hari ini.

Sempena musim perayaan ini, sebanyak 20 kawasan kemalangan akan diberi tumpuan dengan melakukan rondaan dan statik bagi mengurangkan risiko kemalangan terutama kemalangan maut menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Mengulas lanjut katanya, aliran trafik dijangka meningkat kira-kira 200 peratus di kebanyakkan kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai untuk pulang ke kampung.

Dalam pada itu, Jauteh mengingatkan pengguna jalan raya agar tidak terlibat dalam pengambilan dadah.

Semasa Op Selamat 17 sebelum ini, ada pemandu yang ditahan kerana positif dadah dan seluruh keluarga terpaksa menunggu di pusat sehenti bagi menunggu kedatangan pemandu lain.

Jelasnya, situasi sebegitu akan menyusahkan ahli keluarga masing-masing.