23 Warga China Ditahan Terlibat Sindiket Judi Atas Talian

Zaini (tengah) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Jauteh Dikun (dua kanan) menunjukkan barangan rampasan sindiket perjudian atas talian membabitkan warga China.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Polis Sabah berjaya mematahkan sindiket perjudian atas talian (calling center) dengan menahan 23 orang warga China yang dipercayai ahli kumpulan sindiket berkenaan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, tangkapan dan serbuan yang dibuat di empat premis berasingan itu dilakukan dalam operasi Ops Dadu Khas yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah dengan bantuan cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah pada 8 Disember.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama ke sebuah kondominium 29 tingkat, polis berjaya menahan enam orang lelaki warga China berumur antara 20 hingga 24 tahun sedang menjalankan aktiviti perjudian atas talian (calling center).

Serbuan itu membawa kepada rampasan 25 buah laptop pelbagai jenama, 16 papan kekunci, 23 tetikus, 25 pengecas, empat router, kad pintu elektronik dan 55 telefon bimbit pelbagai jenama serta lima unit peranti pemindahan wang.

Kemudian dalam serbuan susulan di tiga buah premis berhampiran, polis berjaya menahan 17 orang indvidu termasuk empat perempuan warga China yang kesemua berumur 19 hingga 27 tahun.

Beliau berkata, tangkapan dibuat atas kesalahan kesemua mereka dipercayai terlibat sebagai ahli sindiket perjudian calling center.

Katanya, siasatan lanjut mendapati sindiket itu menyasarkan kaki judi warga China dari negara China. Kesemua mereka tiba di Sabah bagi menjalankan operasi perjudian itu sejak awal November.

Zaini berkata, kesemua suspek direman sehingga 12 Disember ini untuk tujuan siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas atau penjara tidak lebih tiga tahun.

“Daripada 23 orang yang ditangkap, 17 orang memiliki dokumen atau pasport yang sah manakala, enam lagi tidak mempunyai sebarang dokumen.

“Semua suspek akan ditahan dibawah Akta Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial serta tiada permit atau dokumen yang sah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, nilai rampasan masih dalam proses siasatan.