22,928 KANAK-KANAK TERIMA VAKSIN POLIO DI LABUAN

LABUAN: Sebanyak 22,928 kanak-kanak berusia 13 tahun dan ke bawah di sini telah menerima dos pertama vaksin bivalent oral polio (bOPV) sejak kempen imunisasi polio diadakan bulan lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata daripada jumlah itu, 81.5 peratus atau 19,775 adalah rakyat Malaysia manakala 3,153 bukan warganegara Malaysia.

Beliau berkata kempen untuk memastikan kanak-kanak menerima vaksin oral itu masih berjalan sehingga jumlahnya mencapai sasaran 32,131 kanak-kanak.

“Pencapaian kami dalam kempen imunisasi polio adalah 71.4 peratus, jadi kami akan terus melakukan kunjungan dari rumah ke rumah terutama di penempatan sementara pelarian di Kiamsam dan Kampung Muslim manakala dos kedua bOPV akan mula diberi pada 13 Julai.

“Kempen itu adalah inisiatif jabatan untuk membebaskan Labuan daripada jangkitan polio,” katanya semasa memberi taklimat kepada Menteri Kesihatan Datuk Dr Adham Baba di dewan serbaguna Jabatan Kesihatan di sini hari ini.

Dr Ismuni berkata kempen itu dilancarkan berikutan penemuan viros polio dalam sampel air kumbahan yang disahkan oleh makmal rujukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Australia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan tiada kes polio di Labuan setakat ini seperti yang disiarkan dalam laporan berita walaupun virus polio dikesan dalam sistem kumbahan.

“Kami tidak mencatat sebarang kes polio membabitkan kanak-kanak di Labuan setakat ini dan ini juga berdasarkan pengawasan untuk acute flaccid paralysis (AFP) atau kelumpuhan jangka masa pendek dan saringan secara rawak ke atas 41 kanak-kanak sihat berusia lima tahun ke bawah.

“Untuk mencegah virus polio secara berkesan, kami memberikan dua dos kepada kanak-kanak secara oral,” katanya.

Sementara itu, Dr Ismuni berkata kes denggi di sini telah menurun dengan ketara dalam tiga tahun kebelakangan ini dengan 95 kes pada 2018 dan menurun sebanyak 64 peratus atau 34 kes pada 2019.

“Kami merekodkan hanya lima kes pada Jun lepas berbanding 22 kes untuk tempoh sama tahun lepas…tiada wabak dikesan,” katanya.

— Ends