221 Orang Tinggal Sehelai Sepinggang, 35 Rumah Musnah Terbakar

PUTATAN: Seramai 221 orang dari 45 keluarga hilang tempat berlindung apabila 35 rumah musnah dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Meruntum petang kelmarin.

Dalam kejadian kebakaran itu, tiga anggota bomba turut mengalami kecederaan akibat terkena renjatan elektrik semasa operasi pemadaman kebakaran.

Kesemua anggota bomba itu menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) I dan II serta dibenarkan keluar dari hospital semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Md Ali Ismail berkata, kejadian itu tidak membabitkan kecederaan atau kemalangan jiwa dalam kalangan penghuni sebaliknya, ia hanya melibatkan kecederaan anggota bomba yang bertugas.

“Anggota yang mengalami kecederaan telah diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Operasi pemadaman itu melibatkan 25 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan Penampang.

Pemadaman api berjaya dikawal daripada terus merebak pada 8 malam dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Seorang saksi memaklumkan kebakaran berpunca dari sebuah rumah kira-kira 5.30 petang sebelum merebak dengan pantas disebabkan pembinaan struktur rumah yang di kawasan itu terlalu rapat.

Dalam kejadian pada 5.30 petang itu, tiga anggota tersebut terkena sambungan elektrik semasa sedang melakukan operasi memadam kebakaran.

Ini adalah kebakaran kedua di daerah ini dalam tempoh sebulan dimana, kebakaran pertama berlaku di Kampung Dumpil yang memusnahkan 17 rumah setinggan atas air pada 22 April lalu.