22 Pengamal Media Semenanjung Dibawa Teroka Produk Pelancongan Di Sabah

Para peserta bersiap sedia mengikuti aktiviti meneroka hutan di sekitar resort berkenaan.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
LAHAD DATU: Seramai 22 penggiat media sosial dari Semenanjung Malaysia dibawa meneroka kawasan pelancongan di sekitar Tawau, Lahad Datu dan Sandakan selama lima hari bermula Rabu.

Pegawai Pelancongan Tourism Malaysia (TM), Syafikh Errsyam berkata, penganjuran program bersempena dengan Pesta Makanan & Pertanian Sandakan 2019 yang berlangsung pada 13 September di Bandar Kim Fung.

Pegawai Pelancongan Tourism Malaysia (TM), Syafikh Errsyam memberi taklimat kepada peserta.

“Antara objektif penganjuran program ini adalah untuk memperkenalkan produk-produk pelancongan yang terdapat di pantai timur Sabah dalam usaha mempromosikan destinasi pelancongan di negeri ini sempena dengan kempen Melawat Malaysia 2020 (VM2020).

“Sepanjang program ini, para peserta berpeluang menyusuri Sungai Kinabatangan; melawat lumpur gunung berapi Lipad; mengunjungi tempat bersejarah seperti Rumah Agnes Keith, Gereja St. Micheal, Tokong Buddha Puu Jih Shih, Taman Peringatan Sandakan dan Muzium Warisan Sandakan.

Para peserta turut tidak melepaskan peluang melihat Si Putung, badak sumbu sumatera yang telah diawet.

“Selain itu, mereka juga akan dibawa mengunjungi Perkampungan Air Sim Sim, melawat Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, Pusat Konservasi Beruang Matahari Borneo dan Pusat Penemuan Hutan Hujan,” ujarnya.

Syafikh berkata, penganjuran program seumpamanya dapat mengeratkan jalinan kerjasama antara penggiat media sosial dengan sektor kerajaan dan swasta yang berkaitan dengan industri pelancongan di sini.

Mengabadikan kenangan di kawasan lumpur volkano.

“Para peserta akan berkongsi pengalaman dan gambar-gambar sepanjang program berlangsung dan kita jangka sebanyak 80 hingga 100 perkongsian mengenai Sabah akan disiarkan dalam laman sosial media seperti Facebook, Instagram,YouTube, Twitter dan blog.

“Kami berharap perkongsian para peserta di laman sosial mereka akan mendapat jangkauan di antara 5 juta hingga 6 juta pembaca.

Para peserta meninjau pameran di resort berkenaan.

“Ini secara tidak langsung akan membantu mempromosi dan menimbulkan minat dalam kalangan pembaca untuk melawat “Negeri Di Bawah Bayu’,” jelasnya.

Orang ramai yang ingin melihat perkongsian pengalaman mereka boleh mengikutinya melalui tanda pagar #TourismMalaysia,
#MalaysiaTrulyAsia, #CutiCutiMalaysia, #VM2020 #GoSabahExperienceMore #SabahOkBah #SyiokOSabah #MalaysianHospitality dan #MasWingsMates.

Para peserta bergambar kenangan di pusat informasi Tabin.

Syafikh ditemui selepas majlis penutup lawatan di Tabin Wildlife Resort pada Khamis.

Program lawatan tersebut mendapat kerjasama dan sokongan daripada Malaysia Airlines, MASwings, Sabah Tourism Board, Sandakan Tourist Association, Myne Resort Kinabatangan dan Tabin Wildlife Resort.