Pengundi Lido Bantah Persempadanan Semula

protes5

SURAT: Sejumlah 212 pengundi telah menandatangi Bantahan Cadangan Persempadanan Semula DUN Sabah (Pameran Pertama) 2016 untuk Daerah Mengundi (DM) Lido, dua kali ganda dari dari syarat minima 100 tandatangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

2. Jumlah tersebut berjaya dikutip hasil daripada gabungan tenaga Parti Keadilan Rakyat (PKR) Penampang, Pejabat Ahli Parlimen Penampang dan Bersih Sabah yang mengedar risalah dan mengadakan kempen mengutip tandatangan untuk pengundi DM Lido selama tiga hari dari Jumaat, lepas.

From left, Matthew, Kenny Mickey, SPR Officer, Joseph Alex and Beverly.
From left, Matthew, Kenny Mickey, Pegawai SPR, Joseph Alex and Beverly.

3. Penyerahan bantahan tersebut telah dilakukan di pejabat SPR, Mini Putrajaya pagi tadi diketuai oleh wakil pengundi DUN Kepayan Mickey Jangki, Ketua PKR Penampang, Kenny Chua, Setiausaha Pengelola, Joseph Alex Chang, Pengerusi Bersih Sabah Beverly Joeman dan timbalan beliau, Mathew Yong.

4. Beverly mengucapkan tahniah kepada pengundi Lido yang disifatkan amat matang dalam menentukan masa depan mereka. Mereka (pengundi) menyedari bahawa cadangan pemindahan 3,641 pengundi berdaftar DM Lido tidak munasabah. Mereka tidak rela menjadi mangsa permainan politik kotor justeru tampil untuk menyatakan bantahan mereka.

5. Bersih Sabah juga turut memuji usaha yang dilakukan oleh PKR Penampang dan Pejabat Ahli Parlimen Penampang dalam merangka strategi yang ampuh untuk memberi kesedaran kepada pengundi yang terlibat.

protes4

6. Bersih Sabah melihat cadangan pemindahan DM Lido telah melanggar beberapa syarat yang termaktub dalam Jadual 13, Perlembagaan Persekutuan. SPR tidak sepatutnya melihat bahawa Lido berada di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu sebagai alasan kukuh kepada cadangan tersebut. Aspek lain harus diambil kira sebelum mengemukan cadangan pemindahan ini.

7. Cadangan ini juga, telah dengan jelas menjadikan Parlimen Kota Kinabalu dan DUN Luyang sebagai mangsa kepada teknik Malapportionment yang bakal memberi impak negatif kepada prestasi Wakil Rakyat yang bakal dipilih nanti kerana mempunyai pengundi yang terlalu ramai.

8. Bersih Sabah berharap lebih banyak bantahan dari lain kawasan akan diserahkan kepada SPR sebelum tarikh tutup menyerahan bantahan pada jam 5 petang, 14 Oktober nanti.

protes3

9. Di samping itu, Kenny turut menjelaskan terdapat ramai pengundi yang datang ke Kaunter Semak Daftar Mengundi di Lido, berasa amat marah apabila mendapati bahawa Lido akan dipindahkan ke DUN Luyang sedangkan penduduk di sana sudah cukup selesa berada dalam DUN Kepayan.

10. Cadangan SPR untuk mengalih 3,641 pengundi DM Lido ke DUN Luyang adalah taktik kotor Barisan Nasional untuk merampas kembali Kepayan dan Penampang.

11. Beliau agak kecewa kerana ‘pihak’ yang sepatutnya bekerjasama dalam bantahan tersebut tidak melakukan apa-apa walaupun kedudukan parti dan status mereka bakal terjejas dengan merelakan usaha BN ini diteruskan tanpa tentangan.

protes1

12. Kenny bagaimanapun bersyukur kerana Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking telah bersungguh-sungguh berganding bahu merealisasikan bantahan ini dengan bantuan dari Bersih Sabah. Kerjasama yang mantap ini telah membuahkan hasil dengan jumlah tandatangan yang berjaya dikutip melebihi dari syarat minima SPR.

13. Kenny berharap bantahan ini akan diterima oleh SPR seterusnya membatalkan cadangan tersebut. Usaha ini boleh membantu memulihkan nama baik SPR yang sudah tercalar kerana memberi cadangan yang banyak memberi kelebihan kepada BN untuk mendominasi kerusi DUN Sabah pada PRU 14 nanti.

14. Beliau mengatakan bahawa biar apapun keputusan inkuiri SPR nanti, kejayaan mengutip tandatangan bantahan yang amat memberansangkan ini merupakan satu kejayaan bagi semua pihak yang telah bekerja keras selama sebulan selepas pameran ini dimulakan pada 15 September lepas.

Bersih Sabah