200,000 Vaksin CanSino Tiba Minggu Hadapan – Hajiji

KUDAT: Kerajaan negeri akan menerima sebanyak 200,000 dos vaksin tunggal, CanSino pada minggu depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri mengemukakan rayuan agar Sabah diberikan vaksin dos tunggal, CanSino bagi mempercepatkan proses vaksinasi di kawasan yang sukar diakses.

“Walaupun Pengarah Kesihatan Negeri Sabah meminta sebanyak 1.8 juta dos vaksin CanSino, tetapi bekalan pertama yang akan sampai pada minggu hadapan hanya sebanyak 200,000 dos,” katanya selepas majlis pelancaran program Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) dan pemasangan perkhidmatan ‘Very Small Aperture Terminal’ (VSAT) ‘CONNECTme NOW’ di sini, hari ini.

Menurutnya, permintaan itu dibuat dalam mesyuarat secara maya yang diadakan bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Khairy Jamaluddin dan Sabah memohon sebanyak 1.8 juta dos vaksin CanSino bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Beliau berkata, antara langkah memerangi penularan jangkitan Covid-19 adalah dengan mendapatkan seberapa banyak vaksin untuk rakyat Sabah.

Jelasnya, Sabah berhadapan cabaran mendapatkan vaksin untuk semua rakyat yang layak divaksin.

“Pada masa sama, kita meminta rakyat untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan jangan mengadakan upacara keramaian seperti kenduri mahupun berkumpul secara beramai-ramai.

“Dengan cara ini kita dapat mengurangkan jangkitan Covid-19 kerana kita bimbang melihat peningkatan kes begitu ketara sekali sejak seminggu dua ini,” ujarnya.