20 Projek Naik Taraf Sekolah Daif Di Kota Belud Diluluskan Libat RM98.1 Juta

KUALA LUMPUR: Sejumlah 20 projek menaik taraf dan pembangunan semula bangunan sekolah daif di Kota Belud, Sabah telah diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM98.1 juta, kata Timbalan Menteri Pendidikan I Muslimin Yahaya.

Beliau berkata skop projek menaik taraf dan pembinaan bangunan gantian itu merangkumi pembinaan bilik darjah, blok pentadbiran, asrama, rumah guru, dewan makan, pusat sumber, bilik sains, tandas dan kemudahan-kemudahan lain yang berkaitan.

Muslimin berkata sehingga kini, sembilan projek telah siap iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kiau I, SK Timbang, SK Kepasang, SK Lasau Tintapon, SK Taburan, SK Rampayan Ulu, SK Taun Gusi, SK Suang Punggor dan SK Tempasuk 1 manakala lima projek iaitu SK Tempasuk II, SK Sayap, SK Pituru, SK Gensurai dan SK Tarintidon sedang dalam fasa pembinaan.

“Projek naik taraf dan pembangunan semula bagi SK Sarang, SK Ulu Kukut, SK Podos, SK Ambong dan SK Nahaba sedang dalam proses perolehan dan sehingga kini proses penilaian tender telah selesai dan Surat Setuju Terima (SST) akan dikeluarkan pada akhir Disember ini.

“Bagi projek SK Dudar yang baharu diluluskan di bawah Program Pembangunan Semula Bangunan Sekolah Daif di Sabah pada 2020, projek itu masih dalam proses reka bentuk dan penyediaan dokumen tender serta tender dijangka akan diiklankan pada akhir Disember 2020,” katanya pada sesi soal jawab Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) yang meminta Kementerian Pendidikan menyenaraikan sekolah berstatus daif di Kota Belud dan kemajuan yang telah dilakukan kerajaan Persekutuan setakat ini.

Mengulas lanjut, Muslimin memaklumkan sehingga 1 Okt, kementerian mengenal pasti 22 sekolah di Kota Belud mempunyai bangunan daif dan daripada jumlah itu, lima sekolah mempunyai bangunan daif berskala tujuh dan baki 17 sekolah mempunyai bangunan daif pada skala enam.

“KPM telah mengemukakan permohonan untuk membina bangunan gantian bagi lima sekolah yang mempunyai bangunan daif di Kota Belud dalam ‘Rolling Plan 1’ Tahun 2021, Rancangan Malaysia Ke-12, bagaimanapun, kelulusan permohonan ini tertakluk kepada kedudukan kewangan kerajaan,” katanya.

Mengenai pecahan jumlah peruntukan RM725 juta untuk menaik taraf bangunan serta infrastruktur sekolah daif dalam Belanjawan 2021 bagi Kota Belud, Muslimin berkata lima sekolah di kawasan itu akan dinaik taraf dengan peruntukan berjumlah RM77.4 juta.