2 Remaja Di Labuan Ditahan Atas Dakwaan Meliwat Pelajar Perempuan

9213
Muhamad Farid Ahmad (tengah)

LABUAN: Polis menahan dua pekerja pencuci kereta di sini kerana disyaki meliwat seorang pelajar perempuan berusia 10 tahun di sebuah kampung di sini pada Isnin.

Ketua Polis Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad berkata hari ini, datuk kepada pelajar perempuan itu telah membuat laporan polis pada pukul 3 pagi semalam selepas mangsa menceritakan kepadanya kejadian itu yang didakwa berlaku antara pukul 6 petang dan 7.30 malam hari Isnin.

Datuk pelajar itu telah membawanya ke hospital pada pukul 2 pagi semalam dan pemeriksaan terhadapnya menunjukkan ada tanda-tanda dia diliwat, katanya.

Muhamad Farid berkata kedua-dua pekerja berkenaan yang berusia 19 dan 22 tahun, ditangkap pada pukul 10 pagi semalam selepas mereka pada mulanya menafikan melakukan perbuatan itu.

Mereka dihadapkan ke mahkamah hari ini dan diperintahkan ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan, kata beliau.

Pesalah liwat yang disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara antara lima dan 20 tahun serta disebat.

Dalam pada itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan melepasi paras Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi kadar penyelesaian kes iaitu 10.64 peratus melebihi sasaran KPI yang ditetapkan 45 peratus bagi tahun 2018.

Supt Muhamad Farid berkata sejumlah 266 kes direkodkan dan 146 kes diselesaikan di mahkamah.

Bercakap pada sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan di sini, beliau berkata kadar kes yang dibawa ke mahkamah juga melepasi sasaran 35 peratus apabila merekodkan 42.47 peratus.