2 Pelajar UMS Antara Empat Maut Dalam Dua Kemalangan Asing Ahad

Pemandu Axia warna biru gelap Jaky Joe Jubinsia Jinilo, meninggal dunia di Hospital Kota Belud manakala penumpang hadapan, Biellko Pili, meninggal dunia di lokasi kejadian. – Gambar ehsan BOMBA Kota Belud

KOTA KINABALU: Empat orang maut dalam dua kemalangan berasing di Bandaraya dan Kota Belud hari Ahad.

Di Kota Belud, dua maut manakala enam cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta Perodua Axia di jalan Kampung Mantanau Ulu Kukut.

Di Kota Kinabalu pula, dua penuntut UMS maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas ke pembahagi jalan sebelum merempuh pokok di Jalan Tun Fuad Stephens, dekat Pelabuhan Sabah.

Dalam kejadian 5.10 petang itu di Jalan Kota Belud-Kudat, pemandu Perodua Axia warna gelap Jaky Joe Jubinsia Jinilo, 26, disahkan meninggal dunia di Hospital Kota Belud manakala penumpang hadapan Biellko Pili, 25 meninggal dunia di lokasi kejadian.

Tiga lagi mangsa di dalam Perodua Axia itu cedera manakala tiga mangsa yang berada di Perodua Axia warna merah turut cedera dan semua mangsa dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, Perodua Axia warna biru gelap dari arah Kudat ke Kota Kinabalu dan sebuah lagi dari arah bertentangan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud Rozlan Osman berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, seorang mangsa yang tersepit di bahagian penumpang sebelah pemandu Perodua Axia warna gelap, berjaya dikeluarkan.

Tetapi, Biellko disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Tambah Rozlan, semua mangsa yang cedera masih menerima rawatan dan ditempatkan zon kuning.

“Mayat mangsa yang maut kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

PELAJAR UMS HILANG KAWALAN KERETANYA

KeretaToyota Vios yang dipandu oleh Haidil terbabas dan merempuh pokok di pembahagi jalan. – Gambar ehsan PDRM KOTA KINABALU
Nur Azlina Tan dari Tawau dan Haidil Amran dari Kunak maut dalam kemalangan awal pagi Ahad di Tanjung Lipat.

Dalam kemalangan pada 2.41 pagi di bandaraya, pemandu Toyota Vios, Mohd Haidil Amdran, 23, dari Kunak, dipercayai hilang kawalan keretanya sebelum merempu sebuah pokok di pembahagi jalan.

Haidil dan penumpang, Nur Azlina Tan Lian Chew, 22, dari Tawau, dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian dalam kemalangan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Geogre Abdul Rakman, berkata ketika kejadian kereta itu dari arah pusat bandar raya menuju ke UMS.

Pemandu dikatakan menukar lorong ke kiri dan memotong sebuah kenderaan lain di hadapan dan selepas memotong, pemandu menukar lorong ke kanan dan tiba-tiba terbabas dan melanggar pokok menyebabkan pemandu dan penumpang tersepit.

“Kedua-dua mangsa yang tersepit kemudian dikeluarkan sepasukan anggota bomba sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor dari Hospital Likas,” katanya.