2 Pelajar Hilang Di Hutan Simpan Taman Bukit Tawau Dijumpai Selamat

Salah seorang pelajar yang ditemui selamat. – Gambar ihsan BOMBA Tawau

TAWAU: Seorang lagi pelajar lelaki yang dilaporkan hilang malam tadi di Hutan Simpan Taman Bukit Tawau ditemukan selamat.

Hafizam Abdawah, 21, ditemui selamat tanpa sebarang kecederaan pada pukul 3.20 petang oleh Ranjer Taman Sabah di kawasan Gunung Maria yang terletak sejauh 12.2 kilometer dari Pejabat Taman.

HAFIZAM ABDAWAH

Rakannya, Mohd Khairul Siwwes, 21, ditemukan oleh orang kampung pada pukul 11.30 pagi di Mini Hidro Kampung Gudang Empat Tawau.

MOHD KHAIRUL

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan di hari ini berkata Hafizam kini menerima rawatan di Hospital Tawau.

“Operasi dimulakan pada pukul 10.40 malam sehingga pukul 3.20 petang tadi melibatkan pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada tujuh anggota JBPM, 30 Ranjer Taman Taman Sabah serta empat anggota polis,” kata kenyataan itu.

Balai Bomba dan Penyelamat Tawau menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.20 malam tadi daripada Pengurus Hutan Taman Bukit Tawau mengenai dua pelajar yang sedang menjalani praktikal di Tawau Ecotourism Sdn. Bhd. hilang semasa memasuki hutan simpan tersebut pada pukul 9 pagi.

BERITA BERKENAAN: –

Mohd Khairul, Hafizam Hilang Di Hutan Simpan Taman Bukit Tawau