2 Motosikal Bertembung, Anggota Bomba Parah

TENOM : Seorang anggota bomba yang dalam perjalanan balik dari tempat kerja, cedera parah selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah motosikal lain di Jalan Sapung Kemabong, di sini, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, Mohd Zainal Sinsian berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 8.35 malam tadi.

Sepasukan 8 pegawai dan anggota dari BBP Tenom serta sebuah van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian yang terletak 8 kilometer dari balai.

“Kemalangan melibatkan 2 buah motosikal, iaitu Modenas VE1 bertembung dengan motosikal Honda EX5.

“2 lelaki cedera parah, seorang mangsa adalah anggota dari BBP Tenom, berusia 39 tahun yang sedang dalam perjalanan balik dari tempat kerja.

“Pasukan bomba memberikan rawatan awal dan seterusnya kedua-dua mangsa dihantar dengan ambulans ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Operasi ditamatkan jam 9.24 malam.