2 Lelaki Hilang Ketika Memancing Dekat Pulau Mataking

SEMPORNA: 2 lelaki dilaporkan hilang ketika keluar memancing di perairan Pulau Mataking, Semporna sejak Sabtu lalu.

Gerakan mencari Makbul Haja 50 tahun dan Sajid Armani, membabitkan 66 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi iaitu Balai Bomba dan Penyelamat Atas Air, Semporna, Tentera Laut Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Taman-Taman Sabah.

Operasi tertumpu di sekitar perairan Pulau Kelapuan, Semporna.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan 7.10 pagi tadi.

Pulau Mataking terletak kira-kira 30 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat, Semporna.

Operasi mencari ditangguhkan 3 petang tadi kerana keadaan laut yang bergelora dan hujan dan akan disambung esok.