2 Kapal Tangki Ditahan, Lakukan Pemindahan Minyak Tanpa Kebenaran

LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan menahan dua buah kapal tangki yang disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran, awal pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, aset Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan rutin telah mengesan dua buah kapal tangki yang merapat di antara satu sama lain dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 1 batu nautika dari Labuan, kira-kira jam 3 pagi.

“Pasukan menggeledah telah melaksanakan pemeriksaan dan mendapati kapal-kapal berkenaan sedang giat melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram.

“Pemeriksaan dokumentasi mendapati kedua-dua kapal terbabit tidak mempunyai dokumen kebenaran daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia untuk aktiviti pemindahan minyak.

“Selain itu, kawasan kejadian merupakan kawasan yang tidak diwartakan sebagai kawasan aktiviti pemindahan antara kapal (Ship-To-Ship Transfer),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nudin, kedua-dua kapal terbabit bersama 8 orang kru termasuk nakhoda yang berusia antara 30 hingg 50 tahun, ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

Kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

“Maritim Malaysia menyeru kepada semua komuniti perkapalan agar mengikuti saluran yang betul dalam melakukan aktiviti Ship-to-Ship Transfer bagi mengelakkan daripada disabitkan kesalahan undang-undang.

“Komuniti maritim dinasihatkan supaya melaporkan salahlaku jenayah di laut kepada Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 atau melalui talian kecemasan MERS 999,” katanya.