181 Kes Covid-19 Babitkan Kanak-Kanak 5 Tahun Ke Bawah

KOTA KINABALU: Sebanyak 181 kes positif Covid-19 yang dilaporkan di Sabah hari ini membabitkan kanak-kanak berusia lima tahun dan ke bawah dan ia termasuk 22 kes bayi berumur kurang setahun.

Secara keseluruhan, sebanyak 2,163 kes positif Covid-19 dilaporkan di Sabah hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 397 kes membabitkan remaja berumur antara enam hingga 17 tahun.

Beliau berkata, kes di daerah ini turut menunjukkan peningkatan mendadak kepada 449 kes berbanding 302 kes semalam. Ini disumbangkan oleh jangkitan dalam kalangan tahanan di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) yang mencatatkan 134 kes.

Katanya, daripada 2,163 kes hari ini, saringan kontak rapat menyumbang 57.6 peratus atau 1,246 kes manakala, saringan bergejala 675 kes, saringan kluster 36 kes, saringan bersasar lapan kes dan lain-lain saringan 198 kes.

Sebanyak 1,799 kes hari ini melibatkan warganegara dan 364 kes pula adalah bukan warganegara.

Tambahan 2,163 kes hari ini, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Sabah sebanyak 172,146 kes.

Setakat semalam, 50.68 peratus penduduk dewasa Sabah telah melengkapkan pengambilan vaksin dan 66.58 peratus lagi telah memperolehi satu dos vaksin.

Mengikut statistik Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF), setakat semalam 100 peratus penduduk dewasa di Beaufort dan Putatan telah mengambil sekurang-kurangnya satu dos vaksin, 94 peratus di Kuala Penyu, 88 peratus di Kota Kinabalu dan 82 peratus di Sipitang.