18 Warga Asing Termasuk Militan ASG, Maute Dikehendaki Di ESSCOM

2183
Senarai 10 orang penjenayah yang dikehendaki pihak ESSCOM. – Gambar ehsan ESSCOM

PEMBERITA BORNEOTODAY
LAHAD DATU: Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid hari Khamis mengeluarkan senarai terbaharu 18 individu yang dikehendaki kerana disyaki terbabit dalam jenayah rentas sempadan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Turut tersenarai ialah ketua kumpulan Abu Sayaf di Basilan, Isnilon Hapilon dan ketua kumpulan militan Maute di Marawi City, Filipina iaitu Abdullah Maute.

ISNILON HAPILON

Dalam satu kenyataan, Wan Abdul Bari berkata: “Kita turut memasukan Hapilon dan Abdullah Maute, kerana dikhuatiri mereka ini akan melarikan diri ke mana-mana negara termasuk ke Malaysia melalui Sabah ekoran tindakan ketenteraan yang sedang dilakukan oleh kerajaan Filipina bagi menghapuskan pemberontak Maute di Marawi City.

“Susulan daripada tindakan ketenteraan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Filipina di Marawi City, kita khuatir mereka ini akan melarikan diri ke negara kita sama ada menyamar sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI) ataupun sebagai nelayan asing”.

ABDULLAH MAUTE

Hapilon adalah ketua kumpulan Abu Sayaf di Basilan dan ketua elemen Islamic State (IS) di selatan Filipina dan Abdullah ialah ketua kumpulan militan Maute di Marawi City.

“Setelah kita teliti dan siasat termasuk mendapatkan maklumat terbaru daripada rakan kita di Filipina, senarai baru dikeluarkan. Kesemua mereka adalah warga asing,” kata Wan Abdul Bari.

Menurutnya lagi, ini adalah senarai terbaru individu yang dikehendaki dan disyaki terbabit dalam beberapa kes jenayah rentas sempadan yang belum ditahan dan berkas samada oleh pasukan keselamatan kita mahupun pasukan keselamatan di negara Filipina sepanjang tahun lepas.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat kepada ESSCOM dan pasukan keselamatan bagi membolehkan kita mengambil tindakan yang sewajarnya termasuk menjejaki mereka.

“Saya meminta kepada orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dengan individu yang disenaraikan di atas, boleh menghubungi Bilik Gerakan ESSCOM di talian 089-863181 atau WhatsApp ke 013-880 3585 atau 019-230 5909 ataupun Balai polis yang berhampiran untuk tindakan selanjutnya, katanya.