18 Rumah Di Sim Sim Terbakar; 50 Penduduk Tinggal Sehelai Sepinggang

Beginilah keadaan di Kampung Sim Sim selepas api dipadamkan. – Gambar ihsan BOMBA Sandakan

Oleh BORNEOTODAY
SANDAKAN: Lapan belas rumah di Kampung Sim-Sim musnah terbakar Jumaat tengahari dan sekurang-kurangnya 50 penduduk tinggal sehelai sepinggang.

Kejadian sebelum solat Jumaat pada kira-kira jam 12.20 tengah hari itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

Ketua Zon Bomba dan Penyelamat Sandakan, Anddre Andrew, berkata pihaknya menerima panggilan jam 12.28 tengah hari sebelum menghantar 16 anggota ke lokasi.

Katanya, api berjaya dikawal pada jam 1.14 tengah hari daripada merebak ke rumah lain.

“Semua 18 rumah atas air itu musnah sepenuhnya. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Difahamkan, kedudukan rumah rapat serta angin kuat menjadi punca api marak dengan cepat sehingga semua rumah diperbuat daripada kayu itu musnah sama sekali.

Antara rumah yang musnah adalah rumah mertua Hassanuddin Nordin, penyelaras Parti Warisan Sebatik.