18 Individu Dikehendaki Membantu Menyelesaikan Kes Jenayah Rentas Sempadan

1525

Oleh GM THOMAS
LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) hari ini mengeluarkan senarai terbaru 18 individu termasuk menyenaraikan 7 individu baharu yang dikehendaki kerana disyaki terlibat dalam beberapa kes jenayah rentas sempadan di Zone Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Komander ESSCOM DCP Dato’ Hazani Ghazali dalam satu kenyataan di sini berkata kesemua 18 individu terbabit adalah warga asing yang dikehendaki bagi membantu pasukan keselamatan khususnya ESSCOM dalam menyelesaikan beberapa isu jenayah rentas sempadan yang berlaku di perairan pantai timur Sabah sepanjang tahun lepas.

Beliau berkata, 7 individu terbaharu yang dikehendaki itu adalah Salip Mura, Sibih Pisih, Titing Alihasan @ Iyot Panday, Roger Saji, Long Sahirin, Jul Aksan Abdurajan @ Halimaw dan Ben Tatoh.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat kepada ESSCOM dan pasukan keselamatan bagi membolehkan kita mengesan kedudukan mereka termasuk mengambil tindakan yang sewajarnya dalam usaha kita untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan di kawasan pantai timur Sabah.

“Setelah kita melakukan pengemaskinian dan penyiasatan terbaru termasuk mendapatkan pengesahan daripada pasukan keselamatan Filipina, berikut adalah senarai baharu individu yang dikehendaki yang disyaki terbabit dalam merancang beberapa kes jenayah rentas sempadan yang masih bergiat aktif dan masih belum ditahan sepanjang tahun lepas di perairan ESSZONE”, katanya di sini hari ini.

Menurutnya lagi, semenjak bulan Jan 2016, ESSCOM telah mengeluarkan seramai 45 individu yang dikehendaki dan daripada jumlah tersebut seramai 29 individu telah dineutralizekan atau dikeluarkan daripada senarai tersebut disebabkan oleh sama ada ditembak mati ataupun menyerah diri kepada pihak berkuasa Filipina.

“Saya meminta kepada orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dengan individu yang disenaraikan di atas, boleh menghubungi Bilik Gerakan ESSCOM di talian 089-863181 atau WhatsApp ke 019-230 5909 ataupun Balai polis yang berhampiran untuk tindakan selanjutnya, katanya.