17 Penumpang Bot Laju Ke Labuan Terkandas Di Pulau Daat

4986
Bot laju yang terkandas setelah dibadai ombak besar pada tengah hari Rabu.

LABUAN: Tujuh belas penumpang yang dalam perjalanan ke Labuan melalui jeti Menumbok, terkandas di Pulau Daat selama hampir sejam selepas bot laju dinaiki mereka hanyut setelah dibadai ombak besar pada tengah hari Rabu.

Detik mencemaskan itu menimbulkan panik dalam kalangan penumpang dengan sebahagian daripada mereka cuba terjun ke laut, tetapi ditenangkan oleh penumpang lain.

“Saya dan penumpang lain sedang menuju ke Labuan kira-kira 1 tengah hari menaiki bot laju dari jeti Menumbok apabila bot itu tiba-tiba mengalami kegagalan enjin semasa dalam perjalanan.

“Keadaan laut bergelora dan bot dibadai ombak besar lalu hanyut ke Pulau Daat,” kata seorang penumpang ketika dihubungi Bernama.

Kesemua penumpang yang basah kuyup itu tiada pilihan, selain menunggu di pulau itu bersama beg dan barangan kepunyaan mereka.

“Kami diselamatkan lalu dibawa ke Labuan menaiki dua buah bot laju selepas terkandas hampir sejam di pulau itu,” katanya.

Bot laju adalah pengangkutan laut tradisional namun paling pantas bagi penumpang dari Labuan ke tanah besar Sabah pergi dan balik, yang mengambil hanya kira-kira 25 minit.

Penjawat awam yang tinggal di Menumbok atau Kuala Penyu dan bekerja di Labuan akan berulang-alik menggunakan bot laju setiap hari.