1,653 Mangsa Banjir Di Tenom, Beaufort Setakat Tengahari Tadi

KOTA KINABALU: 1,653 mangsa banjir dipindahkan ke 15 pusat pemindahan sementara (PPS) di Tenom dan Beaufort setakat 12 tengahari tadi, menurun sedikit berbanding 1,958 orang, setakat 8 pagi tadi.

Menurut jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Sabah,seramai 1,302 mangsa banjir
membabitkan 626 keluarga ditempatkan di 13 PPS di Tenom manakala seramai 351 orang membabitkan 95 keluarga ditempatkan di 2 PPS di Beaufort.

Katanya, sebanyak 17 PPS dibuka setakat ini iaitu 15 di Tenom dan dua lagi di Beaufort.

Namun tiada mangsa banjir dipindahkan ke 2 PPS di Tenom, iaitu Rumah Kebudayaan Ponontomon dan Sekolah Kebangsaan (SK) Mandalom, yang diletakkan dalam keadaan bersiap siaga.

PPS yang dibuka di Tenom ialah di Dewan Kebudayaan Mandalom Lama yang menempatkan 164 mangsa; Dewan Mini Jinuim Jimin (139); Dewan Labut 2 (134); Dewan Masyarakat Sri Antenom (103); Rumah Kebudayaan Batu-Batu (123); Rumah Kebudayaan Pantagon Saga (47); Rumah Kebudayaan Maugus (231); Rumah Kebudayaan Anggalor (91); Dewan Kampung Kalang Kanar (24); Rumah Kebudayaan Kalasasan (77); Dewan Terbuka Kampung Saga (22); Rumah Kebudayaan Makakagas (55); dan Rumah Kebudayaan Belumbung Kemabong (92).

Sementara itu, dua PPS yang dibuka di Beaufort ialah di Dewan Selagon yang menempatkan 218 mangsa dan Dewan DSP Dun Banir yang menempatkan 133 mangsa.

Sebanyak 56 kampung di Beaufort dan 22 kampung di Tenom terjejas banjir sejak 9 Mei lalu.