161 Anggota APMM Tawau Jalani Saringan COVID-19

TAWAU: Seramai 161 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau, hari ini menjalani ujian saringan COVID-19 sebagai langkah pencegahan bagi mengekang penularan pandemik itu dalam kalangan kakitangan agensi itu.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim V. 

Sivakumar berkata penglibatan APMM dalam operasi termasuk Op Cegah Pati (OCP) di perairan sempadan Malaysia-Indonesia boleh menyebabkan mereka terdedah kepada risiko kebolehjangkitan COVID-19.

“Walaupun Tawau menunjukkan penurunan kes positif COVID-9, namun saringan ini sangat penting sebagai langkah pencegahan. 

“Meskipun tidak ada laporan atau kes positif membabitkan staf APMM atau ahli keluarga, ujian saringan ini wajar dijalankan bagi memastikan semua bebas daripada penyakit itu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Sivakumar, 12 ahli keluarga anggota APMM turut menjalani ujian saringan berkenaan yang diadakan pada jam 9 pagi tadi di Pejabat Zon Maritim Tawau.

“Program ini mendapat kerjasama Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau yang menghantar enam petugas kesihatan bagi menjalankan proses saringan berkenaan,” katanya dan menambah keputusan ujian itu akan diketahui dalam tempoh seminggu.