16 Syarikat Halal Dari Sabah Menyertai MIHAS

TKM Dsp Wilfred Madius Tangau merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian mengadakan sidang media bersama dengan pengusaha produk tempatan yang ke ekspo MIHAS 2019 KL di pejabat KP&P , hari ini.

Oleh BORNEOTODAY
KOTA KINABALU : Sebanyak 16 buah syarikat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang telah memiliki sijil HALAL bakal menyertai Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) kali yang ke 16 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.

Ekspo halal terbesar di Malaysia yang akan berlangsung selama empat hari bermula pada 3hb sehingga 6hb April 2019 dijangka bakal dihadiri 700 buah syarikat yang membuat pameran dan pengunjung seramai 20,000 dari serata dunia.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, penyertaan itu merupakan salah satu langkah kementeriannya melalui Jabatan Pembangunan dan penyelidikan Industri (DIDR) bagi mempromosikan produk buatan Sabah ke pasaran domestik dan antarabangsa sekaligus menarik pelaburan ke Sabah.

Menurut Madius, tahun lepas MIHAS keseluruhannya meraih jumlah jualan RM1.52 bilion, meningkat berbanding RM1.01 bilion tahun 2017. Peningkatan itu membuktikan bahawa ekspo tersebut bukan sekadar ekspo industri biasa tetapi sebuah jentera pertumbuhan untuk menggerakkan industri khususnya industri kecil dan sederhana di negara ini.

Saya percaya, tahun ini akan lebih banyak peluang dan ruang yang boleh diterokai selaras dengan penambahan daripada tujuh ke 16 buah syarikat IKS. Syarikat – syarikat ini akan mengetengahkan produk kosmetik dan makanan, kata Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian.

Syarikat dimaksudkan terdiri daripada Mama Best Food Manufacturer Sdn Bhd, Cahaya Kasih Sdn Bhd, Magna Wave Sdn Bhd, Gaya Naturals Sdn Bhd, Hajah Yanong Food Industries Sdn Bhd, Pemborong Mangkab Enterprise Sdn Bhd, Mercu Sutera Sdn Bhd, D’One Habib Trading, Sinar Niaga Corporation, AFCL Bioscience Sdn Bhd, Don Sin Sdn Bhd, KFI Distribution Sdn Bhd, Teck Guan Trading Sdn Bhd, C&F Enterprise Sdn Bhd, Twinine Sdn Bhd dan Innomatt Food Industry Sdn Bhd.

Penambahan penyertaan itu berdasarkan prestasi penyertaan syarikat – syarikat IKS Sabah pada tahun lepas sangat memberangsangkan.
Kita sendiri melihat beberapa syarikat daripada tujuh buah yang menyertai ekspo itu yang menawarkan produk berasaskan koko dan udang kering telah berjaya menjana potensi jualan/eksport sebanyak RM6.3 juta, tambahnya.

“Kita akan berusaha keras untuk merekrut lebih banyak syarikat IKS agar dapat menyertai ekspo ini. Makin banyak yang menyertai makin banyak peluang kita boleh terokai. Kita tidak akan membiarkan syarikat – syarikat ini pergi dan balik dengan tangan kosong, DIDR dan MATRADE Sabah bertanggungjawab untuk memberi bimbingan dan khidmat nasihat supaya ada persiapan yang cukup sebelum mereka ke pameran itu”, kata Madius.

Selain itu, Madius sempat mengumumkan prestasi penyertaan syarikat IKS dalam Foodex 2019 di Jepun pada 5 hingga 8 Mac 2019 baru – baru ini. Sebanyak empat buah syarikat Sabah yang telah dipilih menyertai pameran itu berjaya mendapat tempahan jualan keseluruhan berjumlah RM 4. 96 juta melibatkan 82 kontena setahun daripada Jepun, Korea, China, Singapura dan New Zealand.

Namun, kita juga ada potensi jualan yang masih dalam peringkat perundingan harga iaitu sebanyak RM 8.9 juta. Sekiranya perundingan harga dapat dipersetujui, prestasi keseluruhan hasil penyertaan ekspo Foodex Japan 2019 adalah sebanyak RM13.86 juta, tambahnya.

Madius menegaskan bahawa kementeriannya akan terus memainkan peranan penting dalam menyelaras penyertaan IKS dalam mana – mana ekspo yang berpotensi membantu IKS mencari pasaran baru supaya mampu bersaing ke tahap yang lebih tinggi dan akhirnya menarik masuk pelabur ke Sabah.