16 Rumah Rosak Akibat Ribut Di Kg Air, Beluran; 150 Penduduk Terjejas

Gambar internet menunjukkan Kampung Air, Beluran. Enambelas rumah rosak akibat ribut Khamis petang.

BELURAN: Sebanyak 16 rumah di Kampung Air di sini mengalami kerosakan akibat ribut yang melanda kampung itu, Khamis malam.

Ketua Polis Daerah Beluran Superitendan Sivanathan Velautham berkata dari laporan yang diterima, seramai 150 penduduk terjejas dalam kejadian angin ribut yang menerbangkan bumbung rumah terbabit.

Tiada kecederaan dilaporkan dan penduduk terlibat masih tinggal di rumah mereka, katanya dalam satu laporan.

Dalam pada tu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Air Andraman Kahar berkata kejadian berlaku kira-kira jam 6.05 petang ketika hujan lebat.

Katanya bumbung dapur rumahnya turut diterbangkan dalam kejadian ribut itu.

Sementara itu, Pejabat Parlimen Beluran diwakili Setiausaha Sulit Anggota Parlimen Beluran Samad Jambri dan Pegawai Pembangunan Masyarakat Dewan Undangan Negeri Labuk Abdul Rahman Kangkawang melawat kampung terlibat hari Jumaat.

OPERASI CARI PEGAWAI PENYELIDIK HILANG DI HUTAN DERAMAKOT DITERUSKAN

KINABATANGAN: Pegawai penyelidik Jabatan Perhutanan Sabah M.A Tajudin Mustapha, yang hilang di Hutan Simpan Deramakot Tongod sejak Selasa, belum ditemui sehingga hari Jumaat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan Nurul Azlan Jamalludin berkata operasi mencari dan menyelamat Tajudin, 44, dilakukan menggunakan laluan darat dan udara membabitkan anggota bomba, staf Jabatan Perhutanan Sabah serta polis, termasuk daripada Pasukan Gerakan Am.

Operasi mencari dan menyelamat itu akan bersambung esok, katanya kepada Bernama ketika dihubungi malam ini.

Tajudin dilaporkan hilang selepas terpisah daripada kumpulan staf jabatan itu ketika membuat kerja inventori di kawasan hutan berkenaan.