16 Ditahan Op Bersepadu Sempena Deepavali

76

KOTA KINABALU: Op Bersepadu musim perayaan yang dijalankan polis Sabah berjaya menahan 16 individu atas pelbagai kesalahan membabitkan penyalahgunaan dadah.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Ketenteraman Awam, Senior Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed berkata, operasi berkenaan dijalankan selama lima hari bermula 21 Oktober lalu di lima daerah sempena sambutan Hari Deepavali.

Katanya, tangkapan terbesar melibatkan seorang pemuda berusia 21 tahun di Penampang yang memiliki 5.066 kilogram syabu.

“Keseluruhannya sebanyak 5.171 kilogram syabu dan 26.52 gram pil kuda berjaya dirampas sepanjang operasi itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah hari ini.

Menurut beliau, suspek utama bersama seorang lagi lelaki berusia 27 tahun yang ditahan di Labuan bersama 26.52 pil kuda disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Katanya, suspek-suspek lain disiasat di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) akta yang sama.

Ahmad Fadzillah berkata, sebanyak 1,488 anggota berkhidmat sepanjang Op Bersepadu yang memberi tumpuan kepada jenayah rompak, penyeluk saku, pencuri kereta, dadah dan pendatang asing tanpa izin (PATI).