15,858 Sampel Diambil Di Labuan, 3,324 Masih Tunggu Keputusan

LABUAN: Sekurang-kurangnya 15,858 sampel COVID-19 diambil daripada individu untuk dianalisis sejak 27 Sept lepas dengan sebahagian besar daripadanya ialah mereka yang pulang dari Sabah dan 3,324 daripada jumlah sampel itu belum diketahui keputusan, kata Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari.

Beliau berkata daripada jumlah keseluruhan, 1,700 sampel adalah daripada kluster paling aktif, Saguking dengan 680 sampel diambil semalam.

“Kami menganggarkan 3,500 sampel di penempatan itu untuk dianalisis dan kami masih ada 1,800 sampel akan diambil secara berperingkat sehingga 3 Nov ini.

Kami akan cuba mendapatkan semua peneroka di kedua-dua penempatan, yang kami percaya sudah dijangkiti untuk diasingkan dan dirawat secepat mungkin,” katanya kepada Bernama.

Kluster Saguking terdiri daripada Saguking Laut dan Sebaor baru dengan 8,062 peneroka tinggal dalam penempatan setinggan di atas air itu yang diletakkan di bawah  Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dari 21 Okt sehingga 3 Nov. 

Sementara itu, Dr Ismuni berkata bilangan kes Kluster Bina (mereka yang di dalam sektor pembinaan) dijangka meningkat hari ini dan esok memandangkan peningkatan angka mereka yang menjalani saringan dan menanti keputusan.  

Beliau berkata kluster Bah Bundle Labuan yang jumlah kumulatifnya mencecah 31 kes masih lagi aktif dan jangkitan dijangka menular ke masyarakat tempatan.

Dua lagi kluster Bah Bangat dan Bah Layangan tidak  merekodkan sebarang peningkatan kes sejak dua minggu lepas.

Labuan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dari 17 hingga 31 Okt dengan 217 kes positif dilaporkan semalam.